top of page

5/8/1957 TARIKH “BENAR” TAPI “TIDAK LEPAS” KEMERDEKAAN TANAH MELAYU


Sesungguhnya Tanah ini ada Tuannya, begitulah antara lain maksud sebahagian dari titah KDYMM Yang Diperptuan Agong ke 15 sewaktu istiadat permasyhuran baginda. Justeru, dari kata-kata tersebut tahulah kita bahawa negara Malaysia ini ada pemerintah mutlaknya dan asas negara ini adalah persekutuan antara negeri-negeri Melayu di Semenanjung yang pada awalnya dikenali sebagai Malaya!


Saudara-saudara semua pastinya tahu dan arif bahawa Tunku Abdul Rahman al-Haj adalah Bapa Kemerdekaan Malaysia, beliau dah barisan kepimpinan dahulu berusaha keras hatta mengorbankan wang ringgit dan emas permata dan harta lainnya demi meraih kemerdekaan. Usaha Tunku boleh dilihat sebagai usaha rakyat bagi membebaskan negaranya, namun secara realistiknya kemerdekaan tanah ini harus dibuat antara penjajah dengan “Tuan” asal tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu.

Atas soal itu pada 5 Ogos 1957 berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di King House, Kuala Lumpur antara wakil Queen Elizebeth dengan Raja-Raja Negeri Melayu. Namun dalam Perkara 3 perjanjian tersebut menyatakan bahawa mulai daripada:


31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu dan Selat akan tertubuh menjadi satu Persekutuan yang baru bagi orang-orang Melayu yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu, atau dalam bahasa Inggerisnya, The Federation of Malaya. Oleh itu dengan sendirinya Perjanjian ini telah memansuhkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan dengan itu berakhirlah kuasa dan kedaulatan Baginda Queen ke atas Melaka dan Pulau Pinang. Dan dengan itu juga segala kuasa dan jurisdiksi baginda ke atas Persekutuan Tanah Melayu berakhir.


Perjanjian pada 5 Ogos 1957 ini berlangsung antara wakil Queen iaitu, Sir Donald McGillivray – Persuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu dengan lapan orang Raja-Raja Melayu, Tengku Mahkota Johor dan lima orang Pembesar yang berkuasa di Negeri Sembilan selain daripada Yang diPertuan Negeri Sembilan. Majlis ini juga turut dihadiri oleh saksi-saksi kepada penandatangan rasmi dalam perjanjian ini, menariknya pena khas yang tertera perkataan “Federation of Malaya Agreement 1957” diguna dalam upacara ini. Sejumlah 40 salinan perjanjian ini telah dibuat dengan 20 darinya ditulis dalam Bahasa Melayu dan 20 lagi ditulis dalam Bahasa Inggeris, 2 salinan dihantar kepada Kerajaan British, Kerajaan Persekutuan pula menyimpan 2 salinan, selebihnya setiap negeri dalam persekutuan menerima satu salinan termasuk Melaka dan Pulau Pinang, bagi Negeri Sembilan diserahkan enam salinan memandangkan negeri tersebut mempunyai institusi tersendiri.


Dua puluh enam hari kemudiannya, pada 31 Ogos 1957, berkuatkuasalah Perjanjian ini ke atas seluruh umat di Persekutuan Tanah Melayu dalam menentukan proses sejarah selanjutnya apabila Duke of Gloucester dengan rasminya menggugurkan kuasa dan wibawa penjajah British. Ini telah disambut dengan lantang dan megah oleh laungan Merdeka oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, dalam upacara Pengisytiharan Kemerdekaan yang bergemuruh dan bersemangat, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


Raja-Raja Melayu dan Wakil British ketika Majlis Menandatangani Kemerdekaan Tanah Melayu 5 Ogos 2017



Rujukan:

1. Arkib Negara Malaysia 2. warisanpermaisuri.blogspot.com


bottom of page