Cheng Ho melawat Kelantan
Pendahuluan
Suatu yang sangat mengujkan, namun itulah yang tercatat dalam Rekod Dinasti Ming, yang pernah memerintah China selama selama 274 tahun menggantikan pemerintahan Dinasti Yuan yang dipengaruhi kuasa Monggol. China pada hari ini adalah sebuah negara superpower dan memiliki kuasa veto yang mana ia tidak terikat secara langsung dengan mana-mana kuasa perundangan pertubuhan di dunia, namun atas dasar kemanusian ia mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetap demi keamanan dan kestabilan dunia. Kerajaan China bukan dibentuk dalam masa seratus atau dua ratus tahun sebaliknya ia telah berusia ribuan tahun, menariknya kerajaan ini memiliki sistem pemerintahan yang efisyen hingga mampu mengekalkan rekod dan catatan perjalanan serta pengurusan wilayahnya yang luas semenjak berkurun lamanya.
Satu darinya dikenali sebagai Ming Shih-lu, ia adalah catatan berkenaan peristiwa dan hal yang penting dalam perjalanan pengurusan seharian Dinasti Ming bermula dari tahun 1369 hingga 1643. Dinasti Ming diasaskan oleh Maharaja Hongwu menggantikan kekuasaan Monggol di China yang diterajui oleh Dinasti Yuan, semenjak itu sejumlah lima belas mahajara dari legasinya menerajui China.
Kelantan
Rekod Dinasti Ming ini menjadi satu rujukan primer yang utama dalam menyelidik tentang Kesultanan Melayu Melaka kerana sepanjang tempoh kebangkitan, kegemilangan dan keruntuhan Melaka tercatat dalam rekod China itu, nama Melaka mempunyai satu senarai yang panjang dalam rekod tersebut mengikut tahun berlakunya hubungan antara dua kerajaan tersebut.
Suatu yang menarik tentang rekod ini adalah ia turut memuatkan nama-nama kerajaan lain sekitar kawasan Semenanjung Tanah Melayu seperti Siam, Patani, Legor, Champa, Pahang dan paling menarik bagi kami Kelantan turut tercatat dalam rekod ini. Ji-lan-dan adalah nama yang dicatat dalam rekod ini, ahli sejarah sepakat menyatakan terma ini adalah merujuk kepada Kelantan dan terdapat dua catatan dalam rekod ini tentang negeri ini. Pertama ia dicatat pada 5 Ogos 1411 dan kedua pada 18 Desimber 1412, berikut adalah terjemahan catatannya:
Orang-orang [Utusan] tersebut dihantar secara berasingan oleh Sha-mi-di, Raja Calicut; Ke-yi-li, Raja Cochin; Zai-nu-li A-bi-ding, Raja Samudera; Su-lu-tang Hu-xian, Raja Aru; Ba-li-mi-su-la Da-luo Xi-ni, Raja Pahang; Ma-ha-la-zha Ku-ma-er, Raja Kelantan; Raja Nan-wu-li; Ge-bu-zhe-ma Ketua Kerajaan Jia-yi-le; dan Ba-di Di-man, Pemerintah Xin Cai-cai (nama lain untuk Kampung Xin-Cai, Xin-zhuang Village) dalam negeri Jawa, mempersembahkan barangan cenderahati dan mempersembahkan barangan tempatan. Utusan tersebut turut mempersembahkan barangan perhiasan diri berupa perhiasan kepala dan tali pinggang, serta pelbagai jenis sutera dan wang kertas, setelah itu Kementerian Adat Istiadat telah diarahkan untuk menjamu kesemua utusan tersebut.
5 Ogos 1411
Zheng He (Cheng Ho), Ketua Sida-Sida telah menerima titah daripada Istana untuk menyerahkan titah Maharaja kepada raja-raja di negeri Melaka, Jawa, Champa, Samudera, Aru, Cochin, Calicut, Nan-bo-li, Pahang, Kelantan, Jia-yi-le, Hormuz, Bi-la, Liu-shan dan Sun-la, dalam masa yang sama menghadiahkan setiap raja yang dilawat dengan berberapa bidang sutera bermutu tinggi, kain sutera yang siap disulam, pelbagai pakaian dari sutera dan barangan lain yang sesuai.
8 Desimber 1411
Catatan ini sangat menarik sebenarnya kerana ia membuktikan bahawa negeri Kelantan sudah lama wujud dan kedudukannya sama seperti Melaka yang sering didendangkan arus perdana, selain itu catatan ini juga jelas menunjukkan bahawa ketika Melaka dibentuk negeri-negeri lain juga wujud namun kisah negeri ini terutama Kelantan dipandang sepi sedangkan ia pernah di lawati Cheng Ho.
Siapa Ma-ha-la-zha Ku-ma-er?
Dua catatan dalam Rekod Dinasti Ming ini sebenarnya memberi berberapa maklumat yang sangat signifikan tentang negeri Kelantan, pertamanya bagaimana bentuk pemerintahan di Kelantan waktu itu hingga ia mampu belayar jauh hingga ke China, berdasarkan kepada rekod ini juga dapat diketahui bahawa Kelantan adalah sebuah kerajaan berdaulat kerana selepas dari lawatan pertama pada tahun 1411, China menghantar Laksamana Cheng Ho untuk melakukan lawatan balas ke negeri-negeri yang dapat mengadapnya setahun sebelum itu. Ketiga, apakah bentuk hubungan antara negeri-negeri di Semenanjung dalam tempoh lawatan tersebut kerana masing-masing menuju ke China dan apakah yang mendorong mereka menjalin hubungan ke China, maklumat yang paling penting dalam menyelidik tentang Kelantan berkenaan adalah siapakah Ma-ha-la-zha Ku-ma-er, Raja Kelantan?
p/s : Ekspedisi lawatan Cheng Ho pada peringkat arus perdana banyak mengetengahkan lawatannya ke Melaka dan dianggap sebagai perhubungan diplomatik yang cukup erat antara Melaka dengan China, sedangkan rekod China menyatakan Pahang dan Kelantan turut dilawati oleh Cheng Ho sepanjang ekspedisi tersebut.
Rujukan:
http://www.epress.nus.edu.sg/msl/reign/yong-le/year-9-month-7-day-16
http://www.epress.nus.edu.sg/msl/reign/yong-le/year-10-month-11-day-15