top of page

Catatan Ringkas di Bumi Belanda : Bahagian 1


Pada pengetahuan saya

Belanda pada saya tidak asing sangat pada saya berikutan nama negara ini kerap saya temui dalam jurnal-jurnal sejarah, saya juga mengetahui bahawa orang-orang Belanda mempunyai bahasa serta tulisan mereka yang tersendiri. Saya faham bahawa Belanda merupakan antara kuasa imperialis daripada Eropah sama seperti Inggeris, Perancis, Sepanyol dan German yang datang ke Asia Tenggara untuk mencari peluang bagi membuka koloni mereka sendiri pada kurun ke-18 hingga kurun ke-20. Belanda juga turut meninggalkan warisan mereka di Semenanjung apabila mereka berjaya menduduki Melaka setelah berjaya menamatkan pendudukan Portugis di bekas Empayar Melayu itu, selain itu terdapat juga penempatan mereka di Pulau Pangkor yang kini menjadi kota kara di tengah-tengah pulau tersebut. Saya juga faham bahawa Indonesia sekarang merupakan koloni terbesar orang-orang Dutch, sebagaimana Inggeris meninggalkan Malaya setelah tercetusnya Perang Dunia ke-II di Asia Pasifik mereka juga turut meninggalkan Indonesie mencari perlindungan di Australia, memandangkan pada waktu perang dunia, Eropah turut terjerumus sama dalam perang tersebut malah ia merupakan benua paling teruk terjejas ekoran perang tersebut.


Kepulangan mereka ke Batavia, sekarang ini dikenali sebagai Jakarta sejurus tamat perang dunia, ditentang habis-habisan oleh pemuda-pemuda Bangsa Indonesia dibawah pimpinan Sukarno yang akhirnya menjadi Presiden pertama bagi negara Indonesia pada 1948. Akhirnya Belanda akur, mereka tidak lagi diterima oleh penduduk-penduduk di kepulauan itu dan pulang ke semula ke negara asal mereka di Eropah, meskipun begitu Belanda tetap mempunyai beberapa lagi koloni di benua Amerika, dan kepulaun di lautan India.


Itulah Belanda yang saya kenali, selain itu saya juga tahu bahawa negara Belanda merupakan sebuah negara pertanian yang dipenuhi oleh kincir angin, negara ini juga terkenal dengan teknologi maritim mereka dan merupakan kepakaran yang tiada pada negara lain iaitu menambak laut, separuh daripada keluasan Belanda adalah hasil daripada tambakan laut menjadikan ia antara negara yang berada di bawah Aras Laut.



Hijrah ke Belanda

Penghujung tahun 2013, atau tepatnya pada September tahun tersebut saya bersama isteri dan anak bertolak ke Belanda, ke berangkatan kami ke negara Belanda atau The Natherlands nama rasminya adalah bagi menemani isteri untuk memenuhi pengajian beliau pada peringkat PhD di Wageningen Research University. Segala-galanya adalah first time buat kami, terkena juga kami dengan apa yang orang kata sebagai Culture Shock.


Wageningen bukan seperti yang kami gambarkan, sekecil-kecil kampung di Pasir Puteh, Kelantan atau di Pasir Mas kita masih dapat mendengar keriuhan “kampung” itu, bagaimanapun sunyi lagi “kampung” Wageningen ini dari kampung-kampung di Malaysia. Jika Shah Alam dipenuhi juga diwarnai oleh sebahagian daripada penuntut UiTM, Wageningen juga begitu, namun ia tetap sunyi. Hari Ahad semua kedai tutup, hanya kedai barangan dapur akan dibuka pada jam 1:00 petang manakala kedai makan hanya akan di buka pada jam 4:00 petang, hanya kota-kota besar seperti Amsterdam, Utrecht atau Eindhoven sahaja akan beroperasi seperti mana bandar-bandar lain di dunia.


Wageningen University menjadi nadi utama kepada pekan Wageningen itu sendiri, istimewanya pekan ini walaupun kecil ia memenuhi keperluan asas, selain itu ia juga memenuhi keperluan kami sekeluarga sebagai muslim, di pekan kecil ini ada kedai runcit halal (Zam-Zam), kedai keperluan produk Asia dan juga empat buah restoren halal bercirikan Mesir, Turki dan Morroco. Paling penting di Wageningen ini turut mempunyai masjidnya sendiri, dari pemerhatian saya selama tinggal di pekan ini dianggarkan lebih dari 200 orang umat Islam disini, termasuk pelajar-pelajar WUR.


Pekan kecil tapi menggembirakan, itulah boleh digambarkan tentang penempatan kekampung di Belanda ini, di sini terdapat lebih kurang rakyat Malaysia termasuk pelajar, pasangan dan anak-anak. Rakyat Indonesia yang melanjutkan pelajaran pada peringkat Master dan PhD di universiti ini juga mencecah ratusan orang, kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai ini menambahkan lagi keceriaan berada di perantauan malah amat membantu dalam proses menyesuaikan diri.




bottom of page