Pentingnya Sejarah demi Kelangsungan Bangsa
Teras kepada sesebuah Negara adalah bergantung kepada kekuatan rakyat yang membentuk sebuah bangsa, merekalah sebenarnya yang akan mempertahankan kedaulatan kerajaan dan negara yang mereka tinggal. Malaysia sebenarnya sebuah negara yang kompleks berikutan ia didiami oleh pelbagai kaum dan sukunya, terdapat tiga bangsa utama mendominasi negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Memahami sejarah Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak sama dalam memahami sejarah Bangsa Melayu berikutan bangsa ini dikenali mengikut sejarah negeri-negeri yang bersekutu dalam satu gagasan yang dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk pada tahun 1948, sekiranya kita memilih untuk memahami “Kerajaan Malaysia” kita harus mengetahui bagaimana wujudnya bangsa Cina dan India di “Tanah Melayu”. Memahami Sejarah Bangsa Melayu pula kita perlu melanjutkan penelitian terhadap sejarah negeri-negeri Melayu di mana anda mendapati sejarah bangsa ini tidak terhad kepada sempadan sebuah negara sebaliknya ia mencakupi satu pertiga daripada benua Asia berikutan bangsa Melayu ini suatu masa dahulu menguasai satu kawasan yang luas hingga tercatatnya istilah “Malay Archipelago”.
Waktu ini timbul pelbagai polemik berkenaan Bangsa Melayu di Malaysia, Polemik ini berlegar-legar melalui media atas aspirasi politik kepartian apabila penyokong parti-parti politik di Malaysia mula menggunakan istilah pendatang dalam perang psikologi mereka demi meraih sokongan pengundi.
Secara tidak langsung perkara ini menjadi antara punca keretakan perpaduan antara bangsa-bangsa di Malaysia dipengaruhi pula sentimen anti kaum yang selama ini telah membarah, Sejarah Malaysia sendiri turut menyaksikan tercetusnya rusuhan kaum yang dirujuk sebagai Tragedi 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969. Punca tragedi tersebut lebih kepada penguasaan ekonomi Malaysia pada waktu itu, bagaimanapun perkara ini boleh berulang kembali sekiranya sentimen-sentimen kaum tidak dibendung dengan sebaiknya, atas rasa tanggungjawab inilah perlunya kita memahami hubungan antara tiga bangsa utama ini dari aspek sejarah.
Penerbitan makalah sejarah tentang bangsa terutama Sejarah Bangsa Melayu baik dalam bentuk maya seperti blog, forum dan media sosial dan bercetak sama ada buku fiksyen dan non-fiksen banyak mencambahkan kesedaran untuk menghayati peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah bangsa mereka. Selain itu, pada hari ini aktiviti kebudayaan masyarakat Melayu tidak hanya terhad kepada badan-badan kerajaann sebaliknya pada hari ini terdapat badan bukan kerajaan atau individu menggerakkan kebudayaan Bangsa Melayu melalui pemakaian busana baik golongan lelaki mahupun perempuan. Jelasnya pertambahan sumber maklumat menerusi media baru dan kegiatan membudayakan kembali adat-adat asli masyarakat Melayu menjadi pemangkin kepada generasi baru untuk terus melestarikan Sejarah Melayu itu sendiri seterusnya memastikan bangsa ini terus cekal menongkah arus perkembangan dunia.
Peneliti Sejarah dan Penggiat Kebudayaan Bangsa Melayu perlu mengawal keterujaan mereka dalam mengetengahkan idea dan menyampaikan maklumat berikutan terdapat anasir luar yang sedia memutar fakta dan maklumat hingga ia menjadi canggung seterusnya melahirkan kelompok lemah jati diri (infferiority complex), paling mendukacitakan kelompok tertentu mengubah keaslian kebudayaan Melayu dengan mengubah pakaian tradisi bangsa ini atas nama revolusi fesyen.
Bangsa yang gemilang, berdaya saing dan maju di wakili oleh satu komuniti yang mempertahankan sejarah dan kebudayaan bangsa mereka, tidak perlu untuk kita mencipta bangsa baru kerana bangsa ini sudah sedia gemilang, tidak perlu untuk kita mencipta pakaian baru kerana pakaian bangsa ini sudah tersedia sopan dan anggun untuk digayakan di mana-mana majlis kebesaran, jangan pernah malu untuk mengaku anda MELAYU kerana Bangsa ini BANGSA GEMILANG.