top of page

CATATAN RINGKAS DI BUMI BELANDA : Bahagian II


Jenis Pengangkutan Awam termasuk berlari dan berjalan

Artikel yang lepas saya ada ceritakan tentang apa yang tahu tentang Belanda dan saya juga kongsikan perasaan pertama kali tinggal di bumi yang kita kenali sebagai Belanda. Tahun pertama tinggal di sini boleh dikatakan seronok walaupun komunikasi di sini menggunakan bahasa Dutch, mereka tetap fasih berbahasa Inggeris, setelah tiga tahun saya sendiri masih tidak menguasai bahasa kebangsaan Natherland ini, ia menjadi keperluan apabila anda ingin memasuki alam pekerjaan di sini.


Sebenarnya dalam catatan kali ini saya ingin kongsikan berkenaan perihal pengangkutan awam di sini iaitu Bus en Fiet, iya bus adalah bas dan satu yang baru iaitu tentang Fiet atau dalam bahasa Melayunya merujuk kepada Basikal. Dua ini merupakan pengangkutan awam utama penduduk Belanda, malah di dunia mereka juga terkenal dengan basikal kerana di sepanjang jalan anda akan melihat orang berbasikal dalam berbagai keadaan, perkhidmatan bas di Belanda pula adalah antara yang terbaik.


Bakfiet


Basikal

Berbasikal di negara ini adalah satu aktiviti selamat kerana sepanjang jalan akan di sediakan laluan khas bagi basikal disamping laluan untuk kenderaan bermotor. Di sini, tiada motorsikal kategori cub (50 – 125 cc), yang ada semuanya kelas 250cc ke atas dengan penunggangnya sama seperti pemandu kereta, maksudnya tiada aksi celah mencelah atau memotong kenderaan lain sewenang-wenangnya, kesemua mereka memberi keutamaan kepada pengayuh basikal.


Kelihatan pengayuh basikal diberi keutamaan di sini, namun mengayuh basikal di Belanda tidak seperti yang kita sangka, cerewet juga menunggang basikal namun begitu ia demi keselamatan penunggang tersebut juga. Penguatkuasa di Belanda amat menitikberatkan keselamatan, jadi sebelum kita menunggang basikal, kita perlu memastikan basikal dalam keadaan baik, dilengkapi lampu hadapan dan belakang berfungsi dengan baik, kotak rantai wajib di pasang. Anda tidak di benarkan membonceng penumpang pada mana-mana bahagian basikal, masing-masing harus menunggang basikal sendiri, sekiranya mahu juga berdampingan anda disarankan untuk berjalan kaki atau gunakan sahaja kemudahan bas, sekiranya anda mempunyai anak kecil dan perlu untuk menunggang basikal, ibu bapa harus pasangkan Child Seat pada bahagian belakang basikal, sekiranya anda ada lebih dari seorang anak, jadi ibu bapa boleh dapatkan bycle buggy. Sekiranya anda tidak menepati perkara-perkara yang dinyatakan anda akan berdepan dengan saman sejumlah Euro 60.00 yang perlu dijelaskan serta merta di lokasi anda di tahan penguatkuasa.



Menunggang basikal di Belanda ada bahagian mudah dan bahagian cerewetnya, namun ia adalah sesuatu aktiviti yang selamat, kebanyakkan penduduk Belanda menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama mereka untuk bergerak. Bentuk muka bumi yang rata juga menjadi faktor utama penggunaan basikal dikalangan penduduk Belanda, di samping itu faktor cuaca juga menggalakkan penduduk menggunakan basikal seterusnya menjamin kualiti udara berikutan faktor pencemaran itu sudah berkurangan, masyarakat di Belanda juga menganggap aktiviti ini menyihatkan fizikal.


Bas di Wageningen

Bas

Bas merupakan pengangkutan utama di Belanda, anda boleh berada di mana-mana hanya menggunakan perkhidmatan bas, hal ini jelas sama seperti di Malaysia juga, namun kualiti perkhidmatan bas di sini berbeza. Bas di Belanda menggunakan teknologi hijau iaitu penggunaan gas dan elektrik sebagai bahan api untuk bas.


Tiada deruman enjin yang kuat, hanya seretan tayar di atas aspal sahaja yang kedengaran, bas di sini menepati masa dengan kekerapan yang tinggi, di stesen bas juga tiada hiruk pikuk, semua orang tenang sahaja. Mereka tenang kerana di stesen bas terdapat satu papan litar elektronik memapakarkan waktu ketibaan dan perlepasan bas, penumpang dan pemandu bergantung sepenuhnya terhadap jadual di papan litar tersebut, bagi memudahkan lagi pengguna syarikat bas telah membangunkan satu laman web yang menggabungkan jadual pergerakan semua jenis pengangkutan awam merangkumi bas, tram, train dan mini bas, ia boleh di capai melalui pautan 9292.nl.


Interface 9292
Contoh info 9292.nl


Maklumat dalam laman tersebut sepenuhnya dalam bahasa Dutch, bagaimanapun sekiranya anda menggunakan Google Chrome ia secara automatik terjemahkan maklumat tersebut dalam bahasa Inggeris. Anda hanya perlu memasukan maklumat lokasi anda dan ke mana destinasa yang anda mahu tuju, ia akan mencadangkan jenis pengangkutan yang patut anda ambil, kos dan jumlah masa perjalanan anda tersebut.


Anda juga digalakkan mendapatkan OV-Chipkart iaitu kad prabayar bagi penggunaan perkhidmatan bas di mana-mana kedai buku dan kedai runcit, terdapat dua jenis kad iaitu satu untuk perkhidmatan bas sahaja (berwarna biru) dan satu lagi untuk perkhidmatan bas dan train (berwarna kuning), ini kerana penggunaan kad prabayar ini lebih murah berbanding bayaran tiket tunai.




bottom of page