top of page

HISTORIOGRAFI BANGSA MELAYU


Contoh Sumber Historiography Melayu

Memahami

Artikel berkaitan historiografi sebelum menjelaskan berkenaan lapangan ini yang bermaksud Penulisan Sejarah, hal ini sebenarnya berlainan dengan lapangan arkeologi yang kebelakangan seolah menjadi teras kepada bidang historiografi, satu saat kami akan bawakan maklumat perbandingan antara dua bidang yang berkait rapat ini, saat ini kita akan memfokuskan perhatian kepada Penulisan Sejarah Bangsa Melayu.


Zainal Abidin Abd.Wahid (Datuk), dalam Syarahan Perdana di UKM dalam tahun 1991 menyatakan pentafsiran dan penulisan sejarah Malaysia dalam Bahasa Melayu merupakan satu tugas yang berat, berikutan kedudukan karya Sejarah Malaysia yang di tulis dalam Bahasa Melayu seperti Sejarah Melayu, Misa Melayu dan Tuhfat al-Nafis masih dipersoalkan tahap ilmiahnya. Datuk Zainal dalam syarahan tersebut menyatakan ahli sejarah barat seperti J.C Bottoms memandang rendah terhadap karya-karya sejarah Bangsa Melayu, lebih parah beliau juga menyatakan terdapat juga ahli sejarah Malaysia turut memperlekehkan karya-karya tersebut.


Datuk Zainal juga menyatakan terdapat tiga sebab utama tentang pentingnya pentafsiran dan penulisan Sejarah (bangsa) Melayu:


  1. Membetulkan tanggapan sarjana asing terhadap karya-karya Sejarah Melayu, hal ini kerana mereka tidak memahami dengan mendalam aspek kebudayaan masyarakat Melayu.

  2. Memurnikan pemahaman ahli sejarah tempatan terhadap sumber teks sejarah Melayu bukan semata-mata untuk menjulang kekuasaan Raja-Raja Melayu.

  3. Membasmi fahaman semangat “Kebangsaan Melayu” baru terbentuk sekitar kurun ke-20.


Tiga sebab utama ini perlu diambil oleh Sejarahwan dan Peneliti-Penyelidik Sejarah sebagai tanggungjawab utama dalam melestarikan Historiografi Melayu, selain itu perkara yang disebutkan di atas juga perlu dipandang berat, bimbang ada pihak akan menganggap perkara tersebut sebagai pendapat-pendapat yang benar dan ini menyulitkan lagi tugas pemahaman Sejarah Melayu baik dari segi kajian dan pendidikan.


Himpunan Sumber

Agungnya Sejarah dan Kebudayaan Melayu hingga ia terpelihara jauh di Eropah malah ia turut disuburkan di Russia, hari ini ia tidak menjadi suatu yang aneh dan kami anggap ia adalah ketentuan Yang Esa dalam memelihara Ilmu-Nya, perkara ini dapat juga di lihat atas usaha Titania A. Desinova (Dr.) menyelongkar khutub khanah bangsa Melayu mengumpulkan sumber seterusnya menyusun dan menghasilkan Historiografi Melayu.


Dua makalah beliau tentang sumber Historiografi Melayu iaitu Sumber Historiografi di Alam Melayu: Koleksi Peribadi John Bastin dan Refleksi Historiografi Alam Melayu, melalui penyusunan koleksi peribadi John Bastin yang lebih dari 3,000 judul selama lapan belas bulan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dari 2 Februari 2007 hingga 31 Julai 2008. Dr. Titania menyatakan Koleksi John Bastin merupakan satu kumpulan buku-buku tentang sejarah, kebudayaan, arkeologi, ekonomi, kajian alam dan lain-lain karya mengenai Bangsa Melayu. Beliau juga menyatakan analisis Koleksi John Bastin sebagai satu kesatuan sumber historiografi adalah sangat penting dalam kajian tradisi ilmu dan historiografi di Alam Melayu bagi menjelaskan dan menafikan prasangka serta mengurangkan salah faham mengenai pelbagai unsur tamadun dan khazanah Melayu, memajukan dialog antarabangsa dan mencari bahasa umum antara umat Islam dan alam barat di dunia baru ini.


Sepanjang menjalankan analisis terhadap Koleksi John Bastin, beliau telah membahagikan kepada tiga bahagian utama dalam merangka Historiografi Melayu:


  1. Sejarah Purba dan Arkeologi

  2. Sejarah Melaka

  3. Orang Melayu dan Tamadun Melayu


Bahagian pertama mengandungi bahan-bahan arkeologi, epigrafi, topponimi dan Ilmu Bumi (Geografi), Bahagian kedua pula mengandungi bahan-bahan tentang Sejarah Melaka semenjak dari zaman awal pembentukannya, sejarah penjajahan dan kegiatan orang Eropah di Melaka, terdapat juga maklumat tentang kegiatan para mubaligh Kristian di Melaka, ia juga memperihalkan tentang hubungan Melaka dengan Siam, Cina, Jepun. Selain itu ia juga mengandungi maklumat tentang orang China di Melaka, tentang seni dan epigrafi, tentang penggalian arkeologi di Melaka dan maklumat tentang bahasa dan sastera serta unsur-unsur budaya yang lain. Bahagian ketiga pula mengandungi bahan dan maklumat tentang etnologi dan antropologi orang Melayu, adat istiadat orang asli dan orang Melayu di dalam pelbagai negara, ia juga memuatkan maklumat tentang lanun dan orang laut, sistem kepercayaan dan adat istiadat pagan, kraftangan dan seni orang Melayu. Pada bahagian ini juga turut dimuatkan berkenaan hal ehwal sosiologi iaitu susunan masyarakat, gerakan politik, gerakan agama, dan sistem kerajaan masyarakat Melayu, meskipun pembahagian maklumat terhadap jumlah besar judul dalam Koleksi John Bastin telah dibuat, Dr. Titania turut berkongsi kekesalannya berikutan koleksi tersebut sangat menarik untuk diteliti dan diselidiki bagi menghasilkan dapatan penting dan fundamental bagaimanapun masa yang diperuntuk sangat singkat.


Pengakhiran

Historiografi di Malaysia terutama ke atas bangsa Melayu nampaknya sukar untuk diputuskan dalam masa singkat, keadaan sukar jelas kelihatan dalam lapangan Sejarah Malaysia pada masa kini, perbincangan tentang kewujudan Hang Tuah dalam Sejarah Melayu juga tidak dapat disepakati antara ahli Sejarah dengan perbahasan mereka sekitar perbandingan ejaan dan tulisan serta sebutan dari Jawi kepada sebutan masa kini, wacana tersebut baru membincangkan tentang Hang Tuah, masih ada ribuaan fakta lain berkenaan Bangsa Melayu perlu dihalusi. Wacana sebegini diadakan secara ad-hoc sedangkan bangsa ini memerlukan satu pemerhatian secara berterusan terhadap sumber-sumber historiografinya, mungkin dua atau tiga kurun lagi barulah sejarah Bangsa Melayu dapat ditegakkan.





Bibliografi:


Denisova, Tatiana A. Sumber Historiografi Di Alam Melayu: Koleksi Peribadi John Bastin. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, 2011. Print.


Wahid, Zainal Abidin Bin Abdul. Sejarah Malaysia: Pentafsiran Dan Penulisan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1991. Print.


Denisova, Tatiana, Prof.Dr. "Orang Melayu Dan Tamadun Melayu Dalam Historiografi Melayu Islam (kurun Ke-13 Hingga Ke-19)." Siri Ceramah Arif Budiman. Vol. III. Singapore: Unit Bahasa Melayu, 2015. 127-182. Print.


bottom of page