HISTORIOGRAFI MASYARAKAT KELANTAN
Pendahuluan
Dua artikel yang dimuatkan dalam laman ini sebelum ini membincangkan berkenaan historiografi atau maksud lainnya adalah Penulisan Sejarah, diterangkan juga fungsi-fungsi serta tujuan penulisan tersebut di lakukan malah kita turut membincangkan kelemahan yang terdapat aspek historiografi, dalam artikel kedua pula telah dibincangkan berkenaan historiografi bangsa Melayu dalam ruang lingkup Malaysia. Pada artikel tersebut, disebut tiga permasalahan utama dalam penafsiran dan penulisan sejarah bangsa ini, dari kedua-dua artikel tersebut kita mengetahui bahawa usaha penulisan sejarah bukan sesuatu perkara yang mudah, penulisannya juga tidak sama dengan pengkaryaan tesis ataupun penulisan ilmiah lainnya, sebaliknya ia adalah satu himpunan peristiwa tentang individu, komuniti, organisasi atau bangsa yang disusun mengikut kronologi disertai dengan keterangan tersendiri.
Historiografi Melayu – Kelantan merupakan satu usaha yang sangat kritikal berikutan sumber penulisan adalah terhad, menurut Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh[1], ahli sejarah kurang memberi perhatian kepada unsur-unsur yang bukan bersifat politik dalam penulisan sejarah Kelantan, bahkan di dalam bidang politik sendiri terdapat kecenderungan untuk menumpukan perhatian kegiatan kuasa-kuasa politik antarabangsa lebih daripada pergolakan politik di dalam masyarakat tempatan di Kelantan. Nik Mohamed turut menyatkan bahawa terdapat banyak pergolakan politik dan peristiwa lain telah berlaku di Kelantan bagaimanapun ia masih belum ditonjolkan samada sebagai bahan bacaan atau rujukan kajian, perkara ini berlaku berikutan kebanyakkan sumber-sumber sejarah Kelantan masih banyak dalam bentuk manuskrip dan belum di kaji dan di cetak.
Dekad 80an menyaksikan aktiviti penyelidikan serta penelitian terhadap sumber sejarah Kelantan makin subur melalui Jabatan dan Persatuan Sejarah di Universiti Awam seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, aktiviti juga turut digerakkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kelantan malah terdapat penyelidik bebas yang menerbitkan buku dan artikel rencana tentang sejarah dan kebudayaan masyarakat Melayu Kelantan.
Sumber Penulisan Sejarah Kelantan
Ramai pemerhati dan penyelidik Sejarah Kelantan mengetahui serta bersetuju bahawa Kelantan Tua[2] merupakan antara kerajaan terawal wujud di Semenanjung Tanah Melayu, selidikan terhadap sumber dari China serta dapatan dari hasil kerja-kerja arkeologi G.De Sievenking membuktikan bahawa manusia mula mendiami dalam satu garis sempada hari ini yang dikenali Kelantan semenjak 3,000 tahun dahulu dan berterusan sehingga Kelantan memasuki era moden, namun begitu tiada catatan lengkap berkenaan maklumat yang diperoleh malah penulisan sejarah Kelantan dipercayai hanya bermula dalam pertengahan kurun ke-18.
Penulis Ringkasan Cetera Kelantan (1934), menyatakan Pak (Wan Mahmud) – Menteri Besar Kelantan semasa pemerintahan Sultan Muhammad I ada membuat catatan berupa “tulisan peringatan” mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku pada era beliau dengan tarikh 1197 Hijrah bersamaan 1780 Masihi, selain itu Abdullah Munsyi yang melawat Kelantan dalam tahun 1838 turut memuatkan “clue” dalam tulisannya dengan menyebut beliau telah ditunjukkan oleh Raja Bendahaa Kelantan sejumlah buku yang memberi pentunjuk kepada penyelidik bahawa pada tahun-tahun tersebut telah terdapat manuskrip berkenaan Kelantan bertulisan tangan.
Nik Mohamed bin Nik Mohd Salleh telah menyenaraikan sejumlah 21 buah sumber utama bagi Historiografi Kelantan dan beberapa kumpulan artikel dan makalah dimuatkan dalam majalah, jurnal dan beberapa penulisan lain antaranya:
Peringatan Wan Mahmud ditulis dalam tahun 1780 Masihi
Buku Sejarah Engku Limbat dipercayai ditulis pada 1851 Masihi
Syair Musuh Kelantan ditulis pada 1838 Masihi
Buku Sejarah Nik Yusuf tidak pasti tahun ia ditulis bagaimanapun ia menjadi sumber utama penulisan Ringkasan Cetera Kelantan.
Cetera Raja Muda tidak ketahui tahun penulisannya, namun ia merupakan sumber utama penulisan Hikayat Seri Kelantan.
Salasilah Kerajaan Negeri Kelantan ia hanya pernah dinyatakan oleh Sir Richard Winstead dalam JSBRAS Vol.17, Part 3 tahun 1939.
Salasilah Negeri Kelantan ia pula hanya disebutkan oleh J.C. Bottoms dalam artikelnya yang berjudul Malay Historical Works yang diterbitkan pada tahun 1960.
Hikayat Seri Kelantan ditulis pada tahun 1914 Masihi.
Ringkasan Tarikh Kelantan ditulis pada tahun 1927 Masihi.
Riwayat Kelantan, ditulis pada tahun 1930 Masihi
Kitab Tarikh Kelantan, tidak pasti tahun penulisannya bagaimanapun ia merupakan sumber utama dalam penulisan buku Sejarah Kelantan oleh Saad Shukri.
Buku Tarikh Kelantan keterangan lanjut berkenaan buku ini tidak dapat dipastikan cuma dinyatakan ia pernah dimiliki oleh seorang pembesar Istana Kelantan dalam tahun 1930an.
Ringkasan Cetera Kelantan, di terbikan pada tahun 1934 Masihi.
Buku Sejarah Kelantan Simpanan Nik Yusuf, satu sumber sejarah simpanan Menteri Besar Kelantan dari tahun 1894 hingga 1900, ia berbentuk manuskrip, ia telah diperintah supaya dimusnahkan oleh Sultan pada masa tersebut.
Cebisan Sejarah Negeri Terengganu dan Kelantan ditulis pada 1876 Masihi.
Buku Sejarah Kelantan Simpanan Encik Muhammad Ghazali hanya diketahui disimpan oleh Encik Muhammad Ghazali juga merupakan pengasas Sekolah Melayu di Kelantan.
Buku Sejarah Kelantan Karangan Nik Mahmud, ia tiada tajuk khusus tetapi dipercayai ditulis dalam tahun 1920an. Buku ini telah dirampas pihak berkuasa dan dimusnahkan semasa proses pencetakannya, satu naskah sempat diselamatkan bagaimanapun ia hilang ketika zaman pendudukan Jepun.
Buku Sejarah Kelantan Karangan Kadir Adabi, tidak dipastikan ianya telah diterbitkan atau tidak berikutakan penulisnya merupakan seorang pengkritik lantang terhadap penjajah Inggeris dan Kerajaan Negeri Kelantan pada era 1920an – 1930an.
Buku Sejarah Kelantan Simpanan Haji Wan Ahmad, keterangan lanjut mengenai buku ini tidak diketahui berikutan ia telah musnah di makan anai-anai.
Buku Sejarah Jembal, tajuk khususnya tidak diketahui ia dinyatakan telah hilang sebelum tahun 1964, buku tersebut memuatkan salasilah Raja-Raja Jembal.
Buku Sejarah Kelantan Simpanan Haji Wan Mustapha, ia telah hilang selepas tahun 1964.
Perkembangan
Penulisan Sejarah Kelantan sebenarnya tidak pernah berhenti cuma ia berkembang secara perlahan, tahun-tahun 70an hingga awal 80an aktiviti berkaitan sejarah dan kebudayaan giat dijalankan bagiamanapun pada era transisi pemerintahan di Kelantan pada tahun 90an, ia bergerak perlahan di atas pelbagai kekangan, namun lahir juga penulisan sejarah tentang Kelantan bagaimanapun ia banyak diterbitkan di luar Kelantan, era 2000 lahir sebuah buku bertajuk Ikhtisar Sejarah Kelantan, awalnya di terbitkan oleh Pustaka Aman Press namun baru-baru ini ia diterbitkan kembali oleh Majlis Agama dan Istiadat Kelantan (2015) dengan beberapa pertamabahan.
Kajian-kajian mengenai aspek Sejarah Kelantan juga giat dijalankan bagaimanapun ia terperangkap dalam bentuk Thesis dan tidak pula dikembangkan oleh pengkaji-pengkaji tersebut, mereka dilihat lebih berkecenderungan menghasilkan kajian demi menyelesaikan pengajian mereka baik pada peringkat Sarjana Muda, Sarjana mahupun Kedoktoran.
Bibliografi
Nik Mohamed, Nik Salleh. "Perkembangan Penulisan Sejarah Kelantan Dan Tinjauan Mengenai Sumber-Sumbernya." Warisan Kelantan III (1984): 1-37. Print. [Gambar Istana Jahar ] https://istanajaharinsider.files.wordpress.com/2013/12/asd.jpg
[1] Lihat Warisan Kelantan volume III : 1984, m.s ix dan 1 – 37.
[2] Istilah ini digunakan berikutan tiada bukti konkrit bagi nama-nama kerajaan kuno yang mempunyai kaitan dengan Kelantan moden, sebelum era pemerintahan YM Long Yunus, Raja yang menyatukan Kelantan pada tahun 1760 dahulu.