top of page

CORETAN TENTANG GAJAH PUTIH DI BUMI GERODA


Terlebih dahulu jutaan terima kasih diucapkan kepada saudara Mohd Herman Roslan [Mohd H Roslan], pengarang buku Tanah Baru Naga Selatan, julangan Tahniah jua dari saya atas penerbitan yang terbaru ini. Sebenarnya, ini adalah merupakan kali kedua saya diamanahkan oleh penulis utuk mengulas karya beliau, bagaimanapun buku pertama beliau saya tidak sempat untuk melontarkan pandangan berikutan kekangan masa serta ketiadaan media yang sesuai untuk saya kongsikan coretan tentang karya penulisan beliau yang pertama itu.


Saya mengikuti rapat perkembangan penulisan buku ini, tajuk buku ini juga mudah menangkap (catchcy) di fikiran pembaca, ia menggambarkan penguasaan satu kuasa besar yang sedang lelap terhadap di tanah yang sinonim dengan geroda, ringkasnya ia menggambarkan pertembungan kuasa antara Bangsa Tai dengan Bangsa Melayu (Langkasuka). Pemahaman masyarakat umum mengenai Gajah Putih sudah fasih dan mereka mengenal ianya terkait dengan Sejarah Thailand, pemahaman terhadap Geroda pula lebih menjurus kepada Kedah, bagaimanapun pada pandangan peribadi saya, Geroda ini sewajarnya menumpukan kepada mitos penubuhan sebuah kerajaan langka yang bernama Langkasuka. Jadi disini kita harus fahami bahawa tajuk buku ini cuba menghuraikan berkenaan penguasaan Tai (Siam) ke atas bangsa Melayu sekitar utara Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kra yang menyentuh kepada sejarah Tai, Kedah, Perlis, Patani dan Kelantan, bagaimanapun penulis telah menghadkan penulisan dalam satu jangka masa sahaja menjadikan pembinaan karya ini dapat dibangunkan secara konstruktif.


Pembinaan karya ini juga merupakan satu prosa ilmiah yang mudah membuaikan emosi, ia bukan novel namun menghampiri kepada fiksyen, meskipun begitu ia menghuraikan secara kritis pertembungan antara Tai dan Bangsa-Bangsa Melayu terutama kerajaan yang berpusat di Ligor, selain itu ia turut menghuraikan peristiwa-peristiwa penting yang berkait dengan Kedah sekitar pertengahan kurun ke-18 dan awal kurun ke-19. Buku ini juga memuatkan grafik, dan imej-imej penting hasil dari fotograf sebagai fakta yang menyokong kepada pembinaan prosa dalam setiap bab, malah penerbitan bahan grafik ini dikekalkan dalam keadaan ia berwarna sebagai ubat penenang dalam proses pemahaman maklumat dalam buku yang sarat ini.


Buku ini mengandungi enam bab, dengan bab empat dan lima merupakan bahagian terbesar buku setebal hampir 300 muka surat ini, paling mengujakan pada bab lima ia menghuraikan dengan lengkap kisah pilu dari insiden yang dikenali sebagai Perang Musuh Bisik yang berlaku sekitar Kota Kuala Muda, Kedah. Pastinya saudara-saudara kita terutama di Kedah pasti hiba menyoroti kembali peristiwa ini, bagaimanapun sejarah inilah yang harus kita pegang kerana ia merupakan peringatan kepada kita. Kerakusan dan Ketamakan diri menjadi punca utama darah bangsa kita ditumpahkan dengan sengaja, kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat juga menyebabkan kita tersungkur menyembah bumi, tragedi tragis ini menjadi pedoman kepada pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu mereka cuba bangkit kembali dengan susah payah kita merdeka jua… namun kini ada pihak menggoncang kembali kedaulatan Tanah ini…. Bangkitlah, Pertahankan Tanah ini….



bottom of page