top of page

BELANDA DALAM MASYARAKAT MELAYU


Ayam, Durian dan Monyet Belanda


Belanda sebenarya tidak begitu asing dalam masyarakat Melayu, sekurang-kurangnya di negeri kelahiran saya, Kelantan Darul Naim, terdapat beberapa istilah yang saya ketahui terkait dengan Belanda, antaranya Durian Belanda, Ayam Belanda, Monyet Belanda dan “Dutch Lady”.


Durian Belanda

Ia merupakan kategori buah, ramai beranggapan ianya adalah buah-buahan tempatan, sebenarnya tumbuhan ini berasal daripada benua Amerika (tengah dan selatan), kerana cuaca yang hampir sama pokok Durian Belanda ini mampu tumbuh subur di rantau Asia Tenggara. Annona Muricata L. adalah nama saintifiknya, kandungan Vitamin C dan serat yang tinggi dalam buahnya menjadikan ia sangat sesuai untuk penjagaan usus seterusnya mengatasi masalah pencernaan, selain itu ia juga mampu membentuk sistem antibodi yang kuat bagi melindungi fizikal daripada ancaman penyakit. Perkataan Belanda pada hujung pangkal buah ini adalah merujuk kepada Kolonial Belanda yang membawa tumbuhan ini ke Alam Melayu pada kurun ke-19 dan ditanam secara komersial, bagaimanapun ia mempunyai nama yang berbeza-beza berdasarkan kepada kelompok tertentu, di semenanjung selain dari nama Durian Belanda ia juga turut dikenali sebagai Durian Sayur.


Ayam Belanda

Ia tergolong dalam spesis burung dengan nama saintifiknya genus Meleagris dengan turkey sebagai nama komersialnya di seluruh dunia. Fizikalnya seakan-akan ayam, tetapi lebih agresif berbanding dengan ayam biasa, ia juga menghasilkan bunyi yang tersendiri serta unik. Masyarat Alam Melayu secara umumnya mengenali ayam ini sebagai Ayam Belanda, dipercayai nama Belanda pada ayam ini adalah merujuk kepada aktiviti perdagangan era kolonial Belanda di Alam Melayu yang mengimport ayam ini dari luar Alam Melayu berikutan jenis ayam ini asalnya bukan dari rantau ini.


Monyet Belanda

Fizikal haiwan ini sama seperti spesis monyet yang lain, namun ia berbeza dari segi rupa paras dan air muka. Monyet ini mempunyai hidung yang besar dan panjang dan kulit mukanya yang putih, Probocis Monkey atau nama saintifiknya Nasalis Larvatus merupakan haiwan asli yang terdapat sekitar pulau Kalimantan / Borneo bukan seperti Ayam Belanda dan Durian Belanda. Wujud mitos dalam masyarakat Banjar berkaitan dengan haiwan ini, kisahnya bermula apabila penjajah Belanda melancarkan serangan ke atas kerajaan Banjar di selatan Kalimantan, pasukan perang Belanda berada di Sungai Martapura, mereka telah dihalang oleh pejuang-pejuang Banjar. Pertahanan kerajaan Banjar tidak dapat menandingi kecanggihan senjata yang dimiliki Belanda dan mereka hampir tewas, di saat-saat akhir pertempuran itu mereka telah memanjatkan doa kepada Allah s.w.t. agar musuh mereka ditewaskan. Doa pejuang-pejuang Banjar dimakbulkan apabila kapal Belanda tiba-tiba karam bersama-sama isinya, tidak lama selepas kapal Belanda itu karam ia ditumbuhi oleh pokok-pokok dan terbentuk pulau dan ia didiami oleh sejenis monyet denga wajahnya iras-iras orang-orang Belanda, atas sebab itu monyet tersebut digelar sebagai Monyet Belanda.


Dutch Lady

Ia merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan pelbagai makanan dari tenusu (produk berasaskan susu) terawal di Malaysia, dengan sejarahnya bermula seawal kemerdekaan Tanah Melayu dengan kilang pertamanya terletak di Petaling Jaya yang dibina pada tahun 1960an. Awalnya syarikat ini mengeluarkan susu pekat manis, selain itu ia juga turut menghasilkan susu formula untuk bayi dan kanak-kanak, nestle merupakan pesaing terdekat syarikat ini di Malaysia. Syarikat sebenarnya merupakan sebahagian daripada syarikat tenusu terbesar di Belanda iaitu frieslandcampina, ia diasaskan oleh sekumpulan petani di Belanda pada tahun 1871.





Sumber:

Frieslandcampina.com

Dutchlady.com.my

Indoborneonatural.blogspot.com

bottom of page