KEMBARA ANDALUSIA PART II: PEMBUKAAN ANDALUS
Awalan
Andalusia seperti tajuk artikel ini merupakan sebahagian daripada Sepanyol, ia merupakan sebuah wilayah autonomi dengan lapan provinsi seperti Almeria, Cadiz, Cordoba, Granada, Huelva, Jaen, Malaga dan Seville juga merupakan pusat bagi wilayah Andalusia. Wilayah ini terletak di Semenanjung Iberia dan terletak pada bahagian selatan Sepanyol, struktur geografi wilayah ini penuh dengan bukit bukau dan lembah dan sesetengah tempat terdapat kawasan gunung ganang, muka buminya agak tandus dengan dipenuhi pokok-pokok renek.
Nama Andalusia terbit daripada istilah Arab iaitu Al-Andalus yang merujuk kepada satu nama khusus yang lebih tua iaitu Vandulusia bermaksud Negeri Orang Vandal. Kawasan ini didiami semenjak awal peradaban manusia lagi, kebudayaannya juga berkembang mengikut kebudayaan setempat, pada peringkat permulaan ia menerima pengaruh daripada kebudayaan Iberia, kemudian Pheonica, diikuti Yunani, Rom, Vandal, Visigoth, Byzantine dan akhirnya Castilia.
Sejarah
Tanah Andalusia pada awalnya didiami oleh bangsa Iberia namun pada tahun 133 Masihi ia telah ditakluk oleh Rom, kemudian diduduki oleh bangsa Yahudi, manakala pada abad ke-5 ia diperintah pula oleh bangsa Vandal sebelum bangsa Goth (Visigoth) berkuasa pada abad ke-6. Pembukaan Andulsia kepada Tamadun Islam bermula apabila Roderick merampas kuasa menyebabkan Semenanjung Iberia kucar kacir, kemuncak kekacauan di wilayah tersebut apabila Roderick mencemar kehormatan anak perempuan Julian, Gabenor Cueta yang memerintah bagi pihak bangsa Goth menyebabkan beliau bertekad untuk membalas dendam lantas berkerjasama dengan pihak Kerajaan Islam.
Pendudukan kerajaan Islam ke atas Andalusia berlaku semasa pemerintahan Kerajaan Bani Ummayyah di bawah pentadbiran Al-Walid bin Abdul Malik (705-715 Masihi), awalnya Tarif bin Malik menyerbu ke Sepanyol dengan kapal-kapal yang disediakan oleh Julian, kejayaan Tarif telah mendorong Musa bin Nusair untuk terus menuju ke bumi Andalus. Beliau telah menugaskan hambanya bernama Tariq bin Ziad untuk memimpin satu angkatan tentera berjumlah 7000 orang terdiri daripada kaum Barbar menggunakan kapal yang disediakan oleh Julian. Angkatan perang Tariq berjaya mendarat di sebuah gunung yang kemudiannya dinamakan Jabal Tariq atau kini dikenali sebagai Gibraltar, setelah memulangkan kapal-kapal Julia maka tinggalah angkatan tersebut di perkarangan gunung itu, bagi menguatkan semangat tentera Islam itu Tariq telah mengucapkan:
“Saudara-saudara sekalian!
Kemanakah kamu hendak lari?
Lautan di belakang kamu, dan Musuh dihadapan kamu.
Demi Allah, kamu haruslah tabah dan sabar.”
Roderick telah mengerahkan 100,000 tentera Goth termasuklah musuh-musuhnya sendiri bagi menghadapi tentera Islam pimpinan Tariq bin Ziyad, walaupun perbezaan jumlah angkatan perang sangat ketara, tentera Islam berjaya menempuhi angkatan besar Roderick tersebut dan membuka peluang kepada tentera Islam untuk menawan Cordoba, Granada dan ibu kota bangsa Goth, Toledo. Kejayaan yang diraih oleh Tariq bin Ziyad menyemarakkan semangat tuannya, Musa bin Nusair untuk turut sama dalam proses pendudukan bumi Andalus, sekurang-kurangnya beliau memperoleh penghormatan sebagai pahlawan. Musa mengetuai angkatan perangnya sendiri dan menyerbu Carmonda dan Seville, selepas itu angkatan beliau bergabung dengan angkatan perang Tariq di Toledo dan mereka bersama-sama menjejak kota-kota di bumi Andalus yang belum ditawan, kecuali Galicia yang menjadi pengkalan dan markas bagi pelarian bangsa Goth. Ahli Sejarah menyatakan pengabaian terhadap wilayah tersebut merupakan satu kesilapan yang besar berikutan ia menjadi pusat operasi musuh-musuh kerajaan Islam untuk bangkit merebut kembali bumi Andalusia.
Mencemburui kejayaan yang diraih oleh Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair, Khalifah al-Walid mengarahkan kedua-dua pahlawan Islam itu pulang begitu sahaja ke Damsyik, nasib mereka bertambah malang apabila al-Walid digantikan oleh Sulaiman bin Abdul Malik mereka dihalang daripada memasuki Damsyik dengan alasan al-Walid sakit, sedangkan Sulaiman hanya menginginkan hadiah yang dibawa oleh Musa bin Nusair dari bumi Andalusia yang mewah.
Semenjak itu, pemerintahan Kerajaan Islam di Andalusia sering berganti-ganti dengan Samih bin Malik yang menggantikan Musa bin Nusair, kemudiannya digantika pula oleh Anbasah bin Sulaiman. Kedua-dua pemerintah ini tidak begitu mendatangkan kejayaan yang berimpak besar buat penyebaran Islam di Eropah sehinggalah tampuk pemerintahan dipegang oleh Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi, beliau berjaya meluaskan kawasan pemerintahan Kerajaan Islam hingga ke Kota Poitiers di Perancis. Bagaimanapun kekuataan angkatan perang Islam makin luntur ekoran kemabukan terhadap harta rampasan hinggakan apabila mereka digempur oleh Charles Martel di Tours dalam peperangan pada tahun 732 Masihi mereka melarikan diri dari medan peperangan.