top of page

ADAKAH TAI ITU SIAM?


Pendahuluan

Thailand, satu negara yang unggul di Asia Tenggara, sektor pertaniannya adalah antara yang termaju di rantau ini dengan pelbagai inovasi dihasilkan bagi meningkatkan pengeluaran industri pertanian mereka, selain itu ia turut terkenal dalam industri pelancongan berikutan memiliki pantai dan pulau yang menarik. Gajah Putih adalah nama jolokan bagi negara ini, dan haiwan ini menjadi kebanggaan dalam masyarakat Thai, malah populasi Gajah di negara ini sememangnya amat besar, sistem monarki di Thailand merupakan antara yang tertua di dunia dan uniknya ia dapat mengekalkan kemerdekaan sepanjang perluasan kuasa imperialis Barat, malah ketika Perang Dunia Kedua ia masih lagi sebuah kerajaan berdaulat berikutan kerjasama yang diberi oleh Kerajaan Thai dengan tentera Imperial Jepun. Penulisan kali ini sebenarnya cuba untuk menyingkap perihal sejarah asal dan usul kewujudan negara ini ditengah-tengah Asia Tenggara dan juga cuba untuk menjawab tajuk di atas.


Siam

Kurun ke-9 sebelum masihi, iaitu sewaktu penghijrahan manusia dari kawasan Selatan China ke kawasan Asia Tenggara, terdapat dua suku kaum bangsa kuno iaitu Mon dan Khmer telah mendiami kawasan Tanah Besar Asia Tenggara. Bangsa Mon mendiami kawasan tengah dan utara Thailand moden hinggalah ke sebahagian besar kawasan Burma, bangsa Khmer pula mendiami sekitar Lembah Mekong dan mengasaskan kerajaan Kemboja dengan Angkor sebagai ibu negerinya. Kerajaan Kemboja kemudiannya berkembang sebagai satu empayar bermula kurun ke-9 hingga kurun ke-15 Masihi, terdapat satu inskripsi telah ditemui di Angkor Wat yang menyatakan perkataan “Syam” atau “Sayam” bermaksud Orang berkulit sawo matang, mereka inilah di kenali sebagai Siam yang juga merupakan sebahagian daripada naungan Kemboja, mungkin sekali mereka adalah Bangsa Mon dan mereka telah mengasaskan kerajaan Dvaravati dengan Haripunjaya sebagai pusat pentadbirannya.


Mon dan Khmer adalah bangsa yang berhijrah, sebelum itu di kawasan tanah besar terutamanya sekitar sempadan Thailand moden terdapat dua bangsa asli yang mendiami kawasan tersebut mereka adalah kaum Negrito juga disebut Sakai, mereka mendiami kawasan selatan dan sebahagian besar kawasan Semenanjung Tanah Melayu dan kaum Lawas mendiami bahagian Utara Thailand malah sebahagian kawasan Burma dan keturunan mereka masih dapat dilihat. Secara fizikal, kaum Sakai berbeza dengan kaum Lawas yang memiliki perwatakan yang elok dan lebih baik berbanding bangsa Sakai malah dipercayai bahawa bangsa Tai telah berasimilasi dengan suku kaum Lawas berikutan perwakatan mereka yang lebih elok.


Beberapa ratus tahun sebelum masihi, kawasan yang didiami oleh Sakai telah diceroboh oleh bangsa Khmer, memaksa orang-orang Sakai berundur jauh ke tengah-tengah Semenanjung berikutan Khmer pada masa tersebut membunuh seluruh komuniti Sakai di kawasan Tanah Daratan.


Tai

Tai adalah satu bangsa berasal dari Barat Daya China, dan kewujudan mereka seawal pembentukan tamadun China itu sendiri, pada tahun 650 Masihi bangsa Tai telah mengasaskan kerajaan mereka sendiri di kawasan Selatan China dengan dikenali sebagai Nanchao. Sungguhpun demikian, bangsa Tai telah berhijrah ke kawasan Tanah Besar Asia Tenggara lama sebelum kewujudan Nanchao lagi, mereka telah berasimilasi dengan bangsa Lawas melalui perkahwinan campur.


W.A.R Wood, menyatakan bahawa Chiengsen merupakan kerabat Tai pertama muncul sebagai pemerintah di Siam, bagaimanapun Wood tidak dapat menjelaskan dengan jelas berkenaan dengan kerabat ini berikutan kelemahan kredibiliti sumber maklumat, kecuali kisah raja terakhir dari keluarga tersebut yang bernama Putera Phrom. Beliau mengasaskan Kota Muang Fang pada tahun 857 Masihi, penubuhan kota tersebut mendorong sejumlah penduduk bahagian selatan yang terdiri daripada bangsa Tai mengalu-alukan penguasaan putera tersebut di bahagian tersebut. Tidak lama selepas itu, beberapa kota lagi telah diasaskan oleh Bangsa Tai di Siam antaranya Muang Sao.


1057, Raja Anurutha dari Burma menakluk Siam, Empayar Kemboja dan menyerang kedudukan tentera China di bahagian selatan negara tersebut, pencerobohan dan penaklukan Raja Burma ini telah membuka peluang kepada bangsa Tai untuk menubuhkan kerajaan bebas dan separa bebas. 1096 Masihi, Kun Chom Tamma, anak lelaki Putera Phrom mengasaskan Kota Payao menjadikan kota tersebut sebagai ibu kota kerajaan Tai yang merdeka.


Muang Fang dan Payao adalah kota bagi bangsa Tai di Siam, mereka sangat menentang pendudukan Kemboja ke atas Siam, hingga tercetusnya perang diantara kedua-dua pihak pada 1238 Masihi. Raja Kemboja telah menghantar Khlon Lamphon bagi menundukan kembali kedua-dua wilayah taklukannya, bagaimanapun wakil Kemboja ini ditentang hebat dua orang wira Tai iaitu Kun Bang Klang Tao, dan Kun Pa Muang. Wira-wira Tai ini telah berjaya menumpaskan Empayar Kemboja, Kun Bang Klang Tao telah mengasaskan kerajaan Sukotai dengan gelaran Raja Sri Intaratitya manakala Kun Pa Muang telah ditabalkan sebagai Raja Kemboja.


Kesimpulan

Siam adalah sebuah negara yang sering kali diperintah oleh pelbagai dinasti, kata akar Siam itu sendiri merujuk kepada penduduk asal yang berkulit Sawo Matang, jadi dapat kita putuskan bahawa Tai adalah bangsa, manakala Siam itu adalah kawasan berdaulat dalam sempadan yang khusus.



Rujukan

  1. LePoer, Barbara Leitch, ed. Thailand: A Country Study. Washington, D.C.: Federal Research Division, Library of Congress, 1989. Print.

  2. Wood, W. A. R. A History of Siam, from the Earliest times to the Year A.D. 1781. Bangkok: Chalermnit hop, 1959. Print.


bottom of page