top of page

SAYA & KEMERDEKAAN


Bendera Malaysia hasil lukisan Alya

Mukkadimmah

Sepanjang minggu lepas hingga semalam malah dijangka akan berterusan beberapa hari lagi berkenaan sambutan Hari Kemerdekaan bagi negara Malaysia. Pagi ini saya turut tidak terlepas untuk berkongsi posting berkenaan hari kebanggaan bagi seluruh rakyat Malaysia itu di Instagram dan Facebook bagi menyemarakkan lagi semangat Hari Merdeka ke-59 tambah saya kini berada jauh di perantauan.


Malam semalam, isteri dan anak sulung saya berumur lima tahun bersungguh-sungguh melukis bendera Malaysia berikutan kami terlupa tempat kami menyimpan bendera Malaysia dibawa dari tanah air, dan pagi ini bendera yang kami lukis itu dibawa Alya ke sekolahnya dengan dipamerkan kepada guru-guru dan rakan sekelas, sekurang-kurangnya pagi ini orang di Wageningen tahu rupa bentuk bendera kita.


Bangga dan Kesal

Saya cintakan negara saya, sebak dan terharu setiap kali mendengar dendangan lagu-lagu patriotik terutama sekali ketika Negaraku berkumandang, jika diikutkan memang lagu kebangsaan kita ini tidak akan dimainkan di Belanda, namun itu tidak menjadi masalah dengan kecanggihan teknologi pada masa sekarang siaran televisyen di Malaysia boleh sahaja diikuti di bumi Eropah ini. Saya bangga dengan anak-anak kecil dengan penuh bersemangat mengibar dan menghias basikal ataupun beg sekolah mereka dengan Jalur Gemilang, pada saya mereka sangat patriotik dan sememangnya dibentuk dari awal untuk sayangkan negara, semoga mereka terus cintakan tanah air ini dan terus membangunkan negara ini agar menjadi satu tempat yang lebih baik, tidak menjadi maju seperti “dokumen di kertas” pun tidak mengapa, asalkan generasi seterusnya mendapat peluang hidup yang lebih baik dari sekarang itu sudah memadai.


Saya kesal dan kecewa, masih ada yang mengecil malah memperlekehkan kemerdekaan yang telah dicapai dan lebih mendukacitakan apabila rakan sebangsa yang bersikap sedemikian. KEMERDEKAAN tidak sepatutnya digugat oleh persepsi dan sentimen politik semasa, seharusnya semua Warganegara Malaysia tidak kira warga tetap atau sementara dan tanpa mengira apa pun bangsa wajib terus mempertahankan KEMERDEKAAN ini. Usaha meraih kemerdekaan ini bukan suatu yang mudah, kita berjaya mengelakkan pertumpahan darah meskipun KEMERDEKAAN ini kemudiannya digugat oleh anasir-anasir KOMUNIS sehingga tahun 1980an namun negara ini tetap kita dapat kita pertahankan.


Benar, negara ini mendapat kemerdekaan melalui jalan politik dengan perjanjian tertentu bersama British lalu diisytiharkan 31 Ogos 1957 sebagai hari kemerdekaan ia juga hari keramat bagi penduduk Semenanjung Tanah Melayu. Pada masa itu kita dikenali sebagai Malaya hinggalah Sarawak dan Sabah turut menyertai persekutuan ini pada 16 September 1963, awalnya 31 Ogos 1963 dicadangkan sebagai tarikh rasmi penyertaan dua negeri dari kepulauan Borneo itu, namun atas nasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) penyatauan tersebut ditangguhkan hingga September tahun tersebut, serentak dengan itu terbentuklah Malaysia dan ia kekal sebagaimana pada hari ini.


Usahlah kita bermain dengan retorik semata, apa sekalipun persepsi kita Negara Malaysia wajib kita pertahankan, Jalur Gemilang harus sentiasa berkibar, apa sekalipun fahaman politik anda, MALAYSIA WAJIB KITA PERTAHANKAN!


Kemerdekaan

Bagi saya, kemerdekaan mencakupi kepada tiga aspek iaitu diri, keluarga, bangsa, pertamanya kebebasan pada diri, di mana kita boleh melakukan apa yang kita kehendaki selagi ia tidak melanggar mana-mana peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan. Keduanya keluarga, kita dapat mempertahan serta membela hak-hak keluarga dan anak cucu dan generasi akan datang terutama sekali dalam aspek kesihatan dan pendidikan yang sempurna dan terkini. Ketiga adalah mempertahankan kewujudan serta pemerkasaan bangsa daripada asimilisi sejagat, kemerdekaan yang dicapai membuka peluang untuk kita terus mendalami dan memahami sejarah bangsa yang selama ini tersimpan kemas, dan hal ini amat mustahil dilakukan sekiranya kita masih dijajah.


Alya (5 tahun), bergaya dengan Jalur Gemilang sebelum ke sekolah

bottom of page