top of page

PATANI DARUL SALAM : CATATAN SILAM TENTANGNYA

Pendahuluan

Rata-rata orang Melayu mengetahui mengenai Patani, umum mengetahui bahawa ia adalah satu wilayah yang terletak di Selatan Thailand pada hari ini. Namun jarang orang mengambil tahu bahawa ia dahulunya adalah sebuah kerajaan Melayu yang berdaulat bersama-sama dengan Acheh dan Johor-Riau menggantikan Empayar Melayu Melaka yang jatuh pada 1511.


Pemerhati dan Peminat Sejarah sedia maklum tentang kegemilangan kerajaan ini, malah kami yakin masyarakat umum juga telah didedahkan tentang kehebatan kerajaan ini melalui filem epik sejarah Queen of Langkasuka terbitan syarikat produksi Thailand, penulisan tentang kehebatan sejarah Patani juga telah banyak dihasilkan dan diterbitkan secara meluas, ramai membicarakannya tentang Sejarah Patani, namun kita jarang mengambil tahu apakah sumber bagi Sejarah Patani.



Sumber Primer

Klasifikasi sebagai sumber primer adalah sangat penting dalam setiap penulisan akademik mahupun bahan bacaan umum, sumber primer adalah bahan yang belum diolah atau dicetak, sumber primer biasanya dihasilkan pada masa yang hampir sama dengan maklumat yang dicatatkan oleh pihak yang berwibawa.


Jadi dalam pensejarahan Patani terdapat beberapa sumber primer yang mencatatkan dengan jelas berkenaan sejarah negeri ini iaitu Tarikh Patani dan Hikayat Patani, dua teks ini merupakan catatan silam berkenaan antara kerajaan besar bagi bangsa Melayu ini.



Tarikh Patani

Pengkaji dan peneliti Sejarah Patani, Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah (Allahyarham) menyatakan bahawa berdasarkan kepada manuskrip Tarikh Patani, ada dinyatakan bahawa kandungan asal Tarikh Patani adalah dari sebuah karya dalam Bahasa Arab yang ditulis oleh Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih, datuk kepada Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad penterjemah manuskrip asal yang berbahasa Arab kepada Bahasa Melayu, dalam terjemahan tersebut beliau turut menambah isi kandungan berdasarkan kepada beberapa peristiwa yang beliau ketahui.


Bagaimanapun naskah asli Tarikh Patani tidak pernah ditemui, yang ada sekarang adalah naskhah yang disalin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau membuat salinan naskhah ini pada tahun 1228 Hijriah bersamaan 1813 Masihi. Naskhah ini disalin pula oleh salah seorang muridnya iaitu Syeikh Muhammad Zainn bin Mustafa al-Fathani, seterusnya menjadi rujukan kepada ramai pengkaji dan peneliti sejarah Patani abad ini, malah diusahakan juga dalam teks rumi yang sebelum ini ia disalin dalam tulisan Jawi.


Meskipun Tarikh Patani yang ada pada masa sekarang adalah salinan daripada naskhah asli, namun kredebiliti salinan tetap terjaga seperti mana karya asli memandangkan penyalinnya adalah ulama silam yang terkenal termasuklah penulis asal kitab ini, Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih.


Kandungan Tarikh Patani dibahagikan kepada tujuh bahagian, setiap bahagian menerangkan garis masa kerajaan Patani yang berbeza, ia menerangkan Patani pada awalnya adalah pelabuhan utama bagi kerajaan Langkasuka yang wujud 200 tahun selepas kelahiran Nabi Isa a.s. Semenjak dari itu ia terus berkembang dan dikenali ramai terutama dari kalangan para pedagang hingga ia menjadi sebuah kerajaan baru. Tarikh ini juga turut membicarakan peranan Patani ketika era pemerintahan Empayar Sri Wijaya, menjadikannya satu-satunya manuskrip yang mencatatkan peranan kerajaan agung tersebut dalam alam realiti, berikutan maklumat mengenai kerajaan ini hanya tercatat pada inskripsi batu sekitar Alam Melayu.



Hikayat Patani

Ia dinyatakan dikarang oleh enam individu berlainan dengan latar masa berbeza-beza bermula dari hujung abad ke-14 hingga pertengahan kurun ke-18, pakar bahasa berbangsa Inggeris Andires Teeuw dan pakar sejarah, David K. Wyatt telah menyelidik dan mengkaji manuskrip yang dikumpul dan disalin oleh Abdullah Munsyi pada 1839. Pakar Bahasa dan Sejarah tersebut telah membahagikan manuskrip tersebut kepada enam bahagian bagi memudahkan untuk memahami garis masa dalam manuskrip bersejarah tentang kerajaan Patani itu:


Bahagian Satu : Kisah Mengenai Pemerintah Awal

Ia merangkumi muka surat pertama hingga mukasurat ke 74 dari manuskrip 1839, ia memperincikan kisah kerajaan ini dari awal penubuhannya hingga ke era kejatuhanya.


Bahagian Dua : Kisah Dinasti Kelantan

Bahagian ini dihuraikan dalam empat muka surat sahaja dengan mengisahkan kebangkitan kuasa Raja Bala dan penggantinya hingga kejatuhan Long Yunus.


Bahagian Ketiga : Kisah Bendahara Patani

Ia mengisahkan mengenai Bendahara yang berkhidmat dengan Sultan dan Raja Patani.


Bahagian Keempat : Kisah Datuk Cerak Kin

Ia mengisahkan mengenai seorang Pawang Gajah bernama Cau Hand dan keturunanya termasuk Bendahara Datuk Cerak Kin, seorang Bendahara yang sangat berkuasa dalam kerajaan Patani.


Bahagian Kelima : Kisah Datuk Sai

Memuatkan kisah mengenai perebutan takhta kerajaan Patani antara Datuk Sai dengan pewaris dari Dinsati Kelantan.


Bahagian Keenam : Undang-Undang Patani



Catatan Lain

Selain daripada Tarikh Patani dan Hikayat Patani, terdapat satu lagi sumber primer mengenai Kesultanan Patani, dikenali sebagai Tawarikh Raja Kota. Manuskrip ini sukar diperolehi buat masa sekarang berikutan ia tidak didedahkan kepada masyarakat umum, namun teks ini seringkali dinyatakan dalam artikel jurnal mengenai Patani.


Sekalung penghargaan juga buat Kementerian Pelajaran Malaysia yang menyuburkan penelitian sejarah Patani dengan menjadikan Hikayat Patani sebagai teks pembelajaran bagi Komponen Sastera (KOMSAS) untuk subjek Bahasa Melayu pada Penilaian Menengah Rendah (PMR), ia adalah langkah tepat untuk menyedarkan generasi muda tentang betapa pentingnya mempertahankan jati diri dan kedaulatan negara daripada segala bentuk penjajahan.



p/s:

Tarikh Patani masih berada dalam pasaran dan anda boleh mendapatinya dari Khazanah Fataniyah dengan harga RM5.00 sahaja, manakala Hikayat Patani pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan diselenggarakan oleh Siti Hawa Haji Salleh pada tahun 2006, bagaimanapun ia telah kehabisan stok. Meskipun kedua-dua naskhah ini tersemat kemas dalam buku Pensejarah Patani oleh Zamberi A. Malek dan diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya, kini ia boleh didapati dengan format E-Book dengan harga RM 11.90




Rujukan

  • Malek, Mohd Zamberi A. Pensejarahan Patani. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2006. Print.

  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

  • https://lambaianilmu.blogspot.nl/2015/07/hikayat-patani-tingkatan-3.html

  • https://ms.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Patani



bottom of page