PENGASUH, MAJALAH TERTUA DI KELANTAN
98 tahun jika dikira pada umur manusia ia menggambarkan keadaan jasad yang sangat tua, dan amat menakjubkan apabila seseorang pada usia sebegitu masih bernafas. Sudah pasti ramai akan meminta petua untuk dijadikan amalan dengan harapan akan lanjut juga usia dengan keinginan yang tertentu.
Satu kenyataan yang ramai tidak ketahui bahawa pada tempoh yang hampir mencecah 100 tahun, Majalah Pengasuh satu makalah ILMU yang masih diterbitkan sehingga kini semenjak pertama kali ia diterbitkan pada 11 Julai 1918 bersamaan 1 Syawal 1336H. Edisi terkini berjumlah 646 bilangan, sepanjang penerbitannya ia memuatkan pelbagai maklumat mencakupi pelbagai bidang keilmuan dan antara maklumatnya menjadi sumber primer khusus bagi sejarah negeri Kelantan.
Penerbitan Majalah Pengasuh di asaskan oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan (MAIK) dengan Haji Awang Muhammad Yusuf bin Ahmad, lebih terkenal dengan nama Tok Kenali sebagai editor yang pertama. Majalah ini sebenarnya dinyatakan sebagai yang kedua tertua di Malaysia, dengan Majalah Al-Imam merupakan majalah yang tertua berdasarkan tahun penerbitannya pada 1906 bagaimanapun majalah ini terhenti penerbitannya pada 1908, sepuluh tahun sebelum penerbitan Majalah Pengasuh.
Majalah ini telah melalui banyak transformasi bergantung kepada ketua pengarang yang mengetuai penerbitannya, bagaimanapun ia secara konsisten diterbitkan dalam tulisan JAWI dari terbitan pertama hingga penerbitan edisi terkini. Kemuncak penerimaan masyarakat terhadap majalah ini apabila ia diterbitkan secara mingguan, bagaimanapun ia menurun dengan pernah diterbitkan setiap tiga bulan. Tahun-tahun terkini, majalah ini kembali diterbitkan secara bulanan semenjak 1975, menunjukkan bahawa majalah ini terus relevan bagi mendidik masyarakat terutama rakyat negeri Kelantan serta mewarnai dunia penerbitan majalah yang berteraskan Dakwah Islamiyah.
Generasi muda mungkin agak kekok untuk menatap majalah ini kerana ia diterbitkan dalam tulisan Jawi, namun ia tetap relevan dan harus dipertahankan kerana tidak banyak makalah di Malaysia yang mengekalkan penerbitan dalam tulisan tradisi masyarakat Melayu semenjak berkurun dahulu. Perubahan tulisan Jawi ke Rumi dalam dekad 1960an dahulu telah di debatkan dalam majalah ini, malah aspek pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada tempoh tersebut turut dikritik dalam majalah ini.
Majalah ini bukan berteraskan keuntungan dan ia terus diterbitkan kerana objektif utamanya adalah untuk menyebarkan agama Islam dalam bentuk tulisan dan penerbitan, tambahan salah satu sumber penerbitannya adalah dari kutipan Zakat. Ia di edarkan secara percuma ke Masjid dan Institusi pendidikan serta agensi di bawah kelolaan MAIK dan Kerajaan Negeri Kelantan, bagaimanapun untuk menjaga nilai estetika, penerbitan ini dapat dimiliki oleh masyarakat umum dengan bayaran RM 3.00 sahaja.
Petikan tulisan Tok Kenali dalam Edisi Pertama Pengasuh:
Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini. Sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan pekerjaan saya ini terhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak. Jika tidak ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi adalah dituntut daripada seseorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok.
“Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak Melayu kita ini, maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap buah negeri di dalam semenanjung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunyai oleh anak-anak negeri sendiri supaya menempati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan ugama.”
“Cuba anakku tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana amalan yang kejahatan, maka di situlah “Pengasuh” bertimpuh (duduk) membedakkan sekalian yang hadhir dengan bedak pengharapan, mudah-mudahan subur sekalian dengan darah dan daging yang boleh mengkhidmatkan tanah air dan menunjukkan kepada Raja.”
Sumber:
Majalah Pengasuh Sebagai Medium Dakwah, Yazilmi Yaacob. Sunway College Journal 1, 51-64 (2004) [Jurnal]
Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung 1, Ismail Che Daud [Buku]
Majlis Agama dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK)
Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan