top of page

BELANDA KECILKAN PENGAJIAN MELAYU

Pengajian Melayu di Eropah sangat sinonim dengan Royal Institute of Ethnology and Linguistic (KILTV), Universiti Leiden, Belanda. Meskipun awalnya ditubuhkan sebagai badan pemikir Belanda dalam usaha menjajah Nusantara, pusat pengajian itu berubah menjadi pusat ilmu pengajian Melayu di Eropah selepas Indonesia dan Malaysia mencapai kemerdekaan.


Apatah lagi banyak manuskrip Melayu lama berada di perpustakaan KITLV, malah sebahagiannya tidak diketahui pun kewujudannya oleh umat Melayu.


Bagaimanapun, KITLV ditutup pada 2014 selepas 150 tahun usia penubuhannya, sementara semua koleksi perpustakaan KITLV dipindahkan ke perpustakaan utama Universiti Leiden dengan bangunan baharu yang dikenali sebagai Perpustakaan Asia pada tahun ini.


Pensyarah Leiden Institute of Area Studies (LIAS), Universiti Leiden, Dr Suryadi Surya, berkata perubahan dasar di Belanda menyaksikan pengajian Melayu yang dahulunya sebuah pusat kajian kini dikecilkan sebagai satu daripada puluhan subjek dalam bidang pengajian Asia Tenggara di LIAS.


Tegas Suryadi, jumlah pelajar Belanda yang mendaftar ke program itu juga merosot dari tahun ke tahun ditambah pula status Universiti Leiden juga berubah dari sebuah universiti kerajaan kepada universiti swasta.



Kurang dana, dan pensyarah

"Dana untuk universiti juga berkurang begitu juga jumlah pensyarah. Semua ini boleh dikaitkan dengan dasar Kerajaan Belanda yang cenderung untuk tidak mendedahkan generasi muda dengan sejarah kolonial dan menyebabkan generasi muda tidak melihat keperluan untuk mempelajari tentang Melayu serta Nusantara.


“Pengajian Melayu juga dilihat tiada nilai komersial dan tidak menjanjikan peluang pekerjaan,” katanya dalam syarahan umumnya, Dinamik Pengajian Melayu Nusantara di Belanda: Dulu, Kini dan Masa Hadapan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.


Suryadi berkata, meskipun ada bantahan dibuat berikutan keputusan Belanda menutup KILTV, ia tidak mampu mengubah keputusan yang sudah pun diambil.


“Kerajaan Malaysia sendiri misalnya tidak lagi menghantar sarjana ke Leiden semenjak 2005. Dalam hal pengajian Melayu ke Eropah, pemerintah Malaysia, Indonesia dan Brunei Darulssalam patut terus menyokong kewujudannya.


“Sebaliknya kerajaan China dilihat lebih berminat dengan pengajian Melayu di negara mereka. Sementara di Leiden, Kerajaan China turut menaja ramai pelajar menuntut dalam pelbagai aliran termasuk pengajian Melayu.


“Dalam banyak hal, jika kita tidak berhati-hati, kita akan ketinggalan,” katanya.


Tegas Suryadi, meskipun isu ilmu pengajian bersifat kemanusiaan seperti pengajian Melayu yang semakin terancam, termasuk di tanah airnya sendiri, pemerintah sewajarnya perlu tampil memberi sokongan.


“Pengajian Melayu berhadapan cabaran tetapi kalau kita biarkan ia akan terus hilang kerana itu sebagai kerajaan, kita yang perlu sokong. Biarpun kita kecil tetapi dengan sokongan, kita akan terus gagah.


“Saya tidak tahu sejauh mana kesedaran itu wujud dalam kalangan Kerajaan Malaysia dan Indonesia. Mereka perlu diingatkan kerana kalau tidak kita akan berada dalam keadaan yang sangat kritikal,” katanya.


Keratan Akhbar Berita Harian : RABU | 11 JANUARI 2017 | m.s 34 SASTERA DAN BUDAYA

bottom of page