Dilema Pengajian Sejarah di Malaysia
- Mar 3, 2017
- 2 min read
Gambar yang menghiasi artikel ini merupakan snapshot daripada laporan berita akhbar Berita Harian bertarikh 13 November 2016. Ia tentang pandangan Tan Sri Professor Emiritus Dr. Khoo Khay Kim yang merupakan sejarahwan ulung di negara ini berkenaan pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah dan pengkhususan dalam bidang Sejarah di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam.
Prof. Khoo berpendapat bahawa pada masa sekarang sistem pengajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah tidak lagi menekankan keperluan mempelajarinya sehingga ramai tidak melihat kepentingannya, keadaan ini juga berlaku di Jabatan Sejarah Universiti Malaya menyebabkan jumlah pelajar yang mengkhusus dalam bidang sejarah merosot dengan begitu drastik. Satu masa terdapat sejumlah 300 pelajar, kini hanya 18 orang pelajar sahaja yang mengikuti pengajian Sejarah, Prof. Khoo menyatakan ia adalah disebabkan peraturan yang dibuat oleh pengurusan universiti kadang-kala menyekat minat pelajar untuk memilih bidang sejarah. Di peringkat sekolah pula, keadaan makin parah apabila guru yang mengajar subjek sejarah bukan dari latar belakang pengajian bidang tersebut.
Prof. Emiritus Dr. Khoo Khay Kim merupakan Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
Sebenarnya masalah kurang minat tentang Sejarah bukan sahaja berlaku di Malaysia, ia turut dihadapi di Natherlands dengan kerajaan Belanda sendiri telah mengecilkan Pusat Pengajian Melayu kepada satu subjek sahaja, malah Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies yang terkenal dalam bahasa Dutch dengan singkatan KITLV telah ditutup dan bahan-bahan bacaannya telah dipusatkan di perpustakaan utama Universiti Leiden.
Keadaan ini sebenarnya sangat serius, kerana akan menjejaskan pelapis berwibawa untuk mengangkat kembali martabat Sejarah Tanah Melayu, meskipun Prof. Khoo Khay Kim menyatakan bahawa Malaysia cukup bertuah kerana Sejarah bangsanya dicatat dalam banyak bahasa dan disimpan di serata dunia. Menurutnya lagi semasa Perang Dunia Pertama, ekonomi dunia dikawal oleh Jerman, jadi banyak catatan sejarah bangsa Melayu ditulis dalam bahasa tersebut, selain itu sejarah Malaysia juga disimpan di Thailand, Lisbon, Portugal; Taipei, dan London.
Sejarahwan Ulung telah menyuarakan kebimbangannya tentang kualiti dan kuantiti pengamal Ilmuan Sejarah dari generasi muda makin berkurangan, namun itu bukan penghalang kerana ramai lagi aktivis muda yang aktif menulis, menyelidik dan membentangkan hasil penelitian mereka berkenaan Sejarah Malaysia.
Sesungguhnya misi untuk mengangkat sejarah Bangsa Melayu perlu dirintis dengan ranjau yang penuh berliku, namun jika semua lapisan masyarakat bersatu tanpa mengira latar belakang pastinya Sejarah Bangsa ini dapat terus dipertahankan.

Comments