KAITAN LANGKASUKA – KELANTAN
Hikayat Merong Mahawangsa adalah satu hikayat yang terkenal dan ia dianggap oleh masyarakat umum terutamanya di Malaysia sebagai sumber sejarah utama bagi negeri Kedah. Awal hikayat tersebut mengisahkan tentang pengasasan negeri bernama Langkasuka oleh Merong Mahawangsa, seorang pengembara yang dikatakan orang dari Alam Melayu tetapi mempunyai hubungan istimewa antara kerajaan Rom dan China.
Ringkasnya, Merong merupakan seorang pelayar yang hebat dan mahir dengan laluan laut menghubungkan Rom dan China, dalam hikayat Merong Mahawangsa dijelaskan bagaimana terbentuknya satu kerajaan bernama Langkasuka dengan rakyatnya digambarkan sebagai “kaum gergasi”. Setelah sekian lama di Langkasuka, maka Merong pun mahu kembali semula ke Rom dan mewasiatkan kepada putera dan puterinya untuk membuka negeri masing-masing, sang putera diwasiatkan untuk ke arah Barat, manakala si puteri diwasiatkan ke arah Timur. Putera Mahawangsa telah ke barat dan membuka satu penempatan yang dinamakan sebagai Kedah Zamin Thuran, manakala puteri yang bergerak ke timur itu telah membuka Kota Patani.
Ada penyelidik mempersoalkan apakah kaitan Kelantan dengan Langkasuka?
Sekiranya diselidik dan diteliti, nama Kelantan tidak ada dalam Hikayat Merong Mahawangsa, ini kerana hikayat tersebut identik berbicara tentang Patani dan Kedah, namun secara riwayatnya ia terkait dengan leluhur Raja-Raja Kelantan memerintah kerajaan Kelantan Tua. Langkasuka sebenarnya adalah sebuah kerajaan persekutuan sepertimana Malaysia pada hari ini, apabila ia tunduk tanpa perang terhadap Funan salah satu negeri yang bersekutu dengannya iaitu Kalathana telah bangkit memberontak.
Kalathana adalah satu wilayah yang kemudiannya mengasaskan kerajaan sendiri di kenali sebagai Raktamrittika juga dirujuk sebagai Chih Tu oleh Dinasti Sui, setelah itu ia terus berkembang dan menukar nama kepada Sriwijaya Mala, inilah kerajaan yang diperintah oleh leluhur Raja Kelantan yang dikelompokan sebagai Kelantan Tua. Nama Langkasuka terus diguna pakai, namun selepas ia tunduk kepada Funan sewaktu kekuasaan Fan Shih Man, ia tidak pernah lagi muncul sebagai negara berdaulat, melainkan ia hanya dipakai bagi mengekalkan kewujudan kaum pribumi sekitar Segenting Kra dan Semenanung. Kami telah menghuraikan berkenaan kaitan Langkasuka dengan Kelantan secara terperinci pada bab pertama buku Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan.