top of page

Majapahit Amulets in Kelantan


Antara azimat/tangkal Majapahit

Disaat meneliti satu senarai isi kandungan yang berjumlah ratusan artikel pada Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS), lalu pandangan mata terlirik pada satu artikel yang bertajuk Majapahit Amulets in Kelantan catatan Anker Rentse, ia dimuatkan dalam penerbitan jurnal yang ke empat belas, bilangan tiga tahun 1936. Sekilas terdetik di hati, “inilah bukti kewujudan Majapahit di Kelantan”, lantas dengan pantas jari menerawang sejumlah turutan fail pdf yang terdapat dalam portal sabrizain.org pada Macbook … sekian waktu dihabiskan, akhirnya fail tersebut dijumpai. Penerbitan JMBRAS tahun 1936 digabungkan menjadi satu fail menjadikan ia sangat merenyahkan kepada orang yang tidak biasa mencari maklumat dari fail pdf.


Setiap bilangan dalam satu tahun penerbitan adalah setebal tiga ratus mukasurat, JMBRAS keempat belas mempunyai tiga bilangan, ia digabungkan menjadi satu fail menjadikanya seperti sebuah buku setebal lebih dari seribu mukasurat. Orang yang mahir memang tiada masalah dengan sedikit pengiraan, artikel yang dicari mudah didapati walaupun ia dalam satu fail pdf yang tebal.


Artikel ini ditulis oleh Anker Rentse, seorang pengkaji berasal dari Denmark tetapi berkhidmat dengan tentera British sewaktu Perang Dunia Kedua malah dia turut menghembuskan nafas terakhir di Kelantan ketika berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam. Setelah diteliti isi artikel tersebut dapatlah diketahui bahawa ia sebenarnya penerangan tentang penggunaan azimat atau tangkal berbentuk pitis iaitu kepingan syiling yang terukir imej dewa-dewi yang sinonim dengan kerajaan Majapahit.


Artikel ini tidak boleh dijadikan sokongan tentang dakwaan kewujudan Majapahit Barat seperti yang diketengahkan dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah, namun bukti tentang hubungan Kelantan dan Majapahit ada dikaji beberapa ahli sejarah yang mengkhusus tentang sejarah Kelantan. Anker Rentse menjelaskan lagi pitis tersebut sangat terkenal dikalangan bomoh sekitar Kelantan untuk memulihkan orang yang dipercayai telah dirasuk hantu, dalam artikel tersebut Rentse menyatakan beliau sempat melihat upacara pengubatan tersebut yang dirujuk sebagai baggeh. Rentse menjelaskan setiap kepingan pitis mempunyai imej dewa-dewa tertentu, dewa ini biasanya terdiri dari dewa dewi yang disembah dalam ritual agama Hindu, di tengah-tengah pitis tersebut terdapat lubang, bomoh akan mengambil kepingan pitis tersebut berdasarkan kepada tahap rasukan yang berlaku dan akan mengikatnya dengan benang mentah, selepas itu upacara bageh juga disebut sebagai menurun bermula hinggalah bomoh diresapi dewa-dewi yang diseru yang turun menerusi pemujaan pitis tersebut. Selepas bomoh itu diresapi, pembantu bomoh yang dikenali sebagai Tok Minduk akan mengambil alih peranan untuk meneruskan langkah pengubatan seterusnya.


bottom of page