top of page

BAHAN BACAAN SEJARAH KELANTAN


Buyong Adil, seorang ahli sejarah yang tidak asing dikalangan peminat sejarah tanah air, karya ulungnya adalah tentang satu siri penulisan sejarah negeri-negeri seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak pada tahun 1970an, namun hingga kini tidak ditemui Sejarah Kelantan tulisan Allahyarham walaupun ada dalam senarainya. Mungkin naskhah tersebut ditangguhkan penerbitannya kerana dekad tersebut terbitnya buku Detik2 Sejarah Kelantan tulisan tiga orang penyelidik Kelantan yang ulung iaitu Assad Syukri, Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi dan AQHAS di tambah lagi pada hujung dekad 70an juga terbitnya buku Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan 1776-1842 sekaligus memuktamadkan penerbitan buku tentang sejarah Kelantan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.


Semenjak itu, tiada lagi penerbitan tentang sejarah Negeri Kelantan begitu juga sejarah beberapa negeri lain sedangkan penerbitan tentang sejarah Melaka begitu giat dihasilkan malah kajian mengenainya juga tidak pernah berhenti, hari demi hari dua buku tentang sejarah negeri Kelantan yang diterbitkan pada tahun 1970an itu bagaikan hilang dalam rekod, yang ada pun tinggal yang carik-carik dan usang serta lusuh fizikalnya, sedangkan ia merupakan kajian dan catatan penting tentang sejarah negeri ini.


Lebih kurang tiga puluh tahun selepas terbitnya buku Detik2 Sejarah Kelantan, muncul pula buku Ikhtisar Sejarah Kelantan, isi kedua buku ini kelihatan hampir sama namun tetap ada perbezaan. Namun penerbitan buku Ikhtisar Sejarah Kelantan dapat memenuhi hasrat rakyat Kelantan sekurang-kurangnya untuk mendapatkan maklumat tentang negeri ini yang sebelum itu sangat sukar diperolehi, malah buku tulisan Abdul Razak Mahmud itu menjadi kontroversi dikalangan pengkaji sejarah Kelantan, namun ia adalah satu impak yang baik kerana ia telah membangkitkan minat generasi muda Kelantan untuk menyelidik sejarah negeri ini.


Meskipun begitu, kedua-dua buku ini meninggalkan satu kelompongan besar dalam penyelidikan dan penelitian sejarah Kelantan kerana ia tidak menjelaskan dengan lanjut tentang sejarah negeri ini, hal ini menyebabkan sejarah Kelantan menjadi bercelaru jika dibandingkan dengan artikel jurnal yang diterbitkan di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara menyebabkan ramai ahli akademik mengulas tentang sejarah Kelantan akan menyatakan sejarah awal negeri ini sebagai kabur.


Atas soal ini buku Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan adalah langkah awal dalam menghuraikan bentuk kekaburan yang menyelubungi sejarah Kelantan, kajian DNA juga telah membuktikan Orang Melayu Kelantan berusia 60,000 tahun justeru itu mestilah kita mempunyai satu sejarah yang panjang cuma tidak diketahui apa sejarahnya. Secara literalnya, sejarah awal negeri Kelantan adalah tidak konsisten tetapi ada yang cuba mengkajinya dan mencatatkan kerajaan tua Kelantan yang dapat direkod bertarikh seawal 500 Masihi.



Nuraidil Zakaria

Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan


bottom of page