top of page

BENARKAH DAKWAAN KELANTAN SEBUAH NEGERI TUA?


Koli

Mukkadimah buku Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan ada memetik tulisan Anker Rentse bertajuk History of Kelantan yang menyatakan asal usul nama negeri ini adalah dari perkataan Koli. Namun benarkah Anker Rentse yang menemui nama tersebut, kalau benar sekalipun dari mana datang nama tersebut?


Selidikan lanjut yang dibuat mendapati rupanya Anker Rentse menemui nama Koli itu dari buku G.E Gerini yang membuat kajian terhadap buku tulisan Claudius Ptolemy yang bertajuk Geographia yang diterbitkan pada tahun 150 Masihi, buku tersebut mempunyai peta dan menjadi rujukan kerajaan Rom dan kerajaan Islam waktu kegemilangannya untuk menjelajah dunia. Ringkasnya buku tulisan Ptolemy itu merupakan satu maklumat yang sangat dirahsiakan pada zaman dahulu kerana ia menjadi panduan kepada tempat-tempat yang mempunyai sumber kekayaan dunia.


Meneliti naskhah-naskhah lain berkenaan Ptolemy terutamanya naskhah Geographia itu membawa kita kepada maklumat lebih mengkagumkan kerana buku tersebut merujuk pula kepada buku yang lain iaitu buku tulisan Marinos dari Tyre yang dipercayai ditulis pada tahun 120 Masihi dengan mengemaskini maklumat dari seorang pengembara atau nakhoda bernama Alexander yang diterbitkan pada tahun 75 Masihi. Hal ini menunjukkan bahawa buku tulisan Ptolemy itu adalah dapatan data daripada catatan seawal kurun pertama Masihi lagi seterusnya menguatkan lagi dakwaan Koli adalah salah satu nama tua di Semenanjung berlokasi di Kelantan.



Maksud

Gerini menyatakan Koli terletak di Kelantan dan ianya adalah sebuah Kota, nama ini merujuk kepada satu nama kota purba (Koli) terletak di Utara India atau lebih tepat di Kapilavastu juga merupakan tempat kelahiran Maya, ibu kepada Buddha. Gerini menambah lagi dengan menyatakan perkataan Koli telah berubah berdasarkan dielek membentuk perkataan Kolam atau Kolom dan digabungkan dengan perkataan Thana, dalam bahasa Melayu bermaksud Tanah dan diterjemahkan sebagai sempadan atau negeri. Gabungan perkataan Kolam dan Thanah telah menghasilkan satu perkataan iaitu Kolamthanah dan akhirnya ia kekal dengan sebutan Kelantan [Kalantan] hingga hari ini.


Evolusi nama Koli kepada Kelantan mengambil masa yang lama, pastinya ia dikenali dengan nama Koli untuk satu tempoh, ini kerana dalam rekod Dinasti Tang (618 – 907 Masihi) Ko-lo Fu-sha-lo terletak di tenggara Pan-Pan dan Wan-Tan (Bandon), dakwaan nama-nama dalam sumber China ini merujuk kepada Koli adalah berdasarkan kepada penelitian pada maksud perkataan itu. Ko-lo Fu-sha-lo merujuk kepada Koli (Pali)-Bhadra (Sanskrit) merujuk kepada Pokok Bidara, namun dalam bahasa Siam ia berbunyi Phusa, perkataan inilah yang menjadi teras kepada perkataan Fu-sha-lo secara tidak langsung merujuk kepada Koli.


Seterusnya catatan dari Ma Tuan-lin, seorang pencatat China menyatakan bahawa dia seringkali diperkatakan oleh rakan-rakannya tentang Ku-lo dan ia dikenali semenjak dari Dinasti Han (206 S.M – 221 M), dalam catatan beliau juga turut dinyatakan bahawa Ko-lo adalah sebuah pelabuhan yang kerap menjadi persinggahan pedagang dari China semenjak dari awal pemerintahan Dinasti Sung (960 – 1127 Masihi), namun Gerini ragu-ragu adakah pelabuhan yang dinyatakan oleh Ma Tuan-lin itu benar-benar terletak di Koli / Ko-lo bagaimanapun beliau bersetuju bahawa negeri Kelantan diasaskan semenjak lama dahulu dan hingga ia turut dicatatkan dalam Sejarah Melayu bahawa Kelantan pada masa kegemilangannya merupakan sebuah kerajaan yang kuat menjadi penguasa dalam perdagangan di pesisir.



Konklusi

Koli yang berlokasikan Kelantan ditanda oleh Ptolemy melalui bukunya Geographia (150 Masihi) dengan merujuk data dari Marinos (120 Masihi) dan Alexander (75 Masihi), ia kemudiannya dikaji oleh G.E Gerini yang kemudiannya menambah pula maklumat daripada sumber Arab dan China. Awalnya dinyatakan Koli adalah sebuah kota yang terletak di Semenanjung dengan meminjam nama tempat dari Utara India, seterusnya rujukan dari sumber China menyatakan pula Koli yang dirujuk sebagai Ko-lo sebagai sebuah pelabuhan yang telah disering disebut oleh pelayar dan pengembara China semenjak kurun Sebelum Masihi lagi.


Jadi disini boleh diputuskan bahawa Negeri Kelantan ditubuhkan dari satu kota kuno dan berkembang menjadi sebuah kerajaan yang kuat, itulah yang dipercayai sebahagian ahli sejarah. Agak malang, tiada catatan kukuh dari sumber Kelantan berkenaan dakwaan ini yang ada pun berkisar maklumat sejarah sekitar penghujung kurun ke-17 memuatkan tentang peranan Long Yunus sebagai penyatu negeri Kelantan.


Peta Semenanjung yang dilakar dari maklumat Claudieus Ptolemy






Rujukan:

  • Gerini, G. E. "Researches on Ptolemy's Geography of Eastern Asia." Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society No. 57 (1911): 167-69. JSTOR. Web. 11 June 2017.

  • Rentse, Anker. "HISTORY OF KELANTAN. I." Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society 12.2 (119) (1934): 44-62. JSTOR. Web. 11 June 2017.

  • Abdullah Mohamed (Nakula). "Yavadvipa : Satu Empayar Yang Telah Dilupakan." Warisan Kelantan V (1986): 29-75.

  • Wheatley, Paul. The Golden Khersonese. Kuala Lumpur: University of Malaya, 2010.


bottom of page