top of page

TOK JANGGUT & TOK KENALI HADIR DALAM DURBAR 1897?

Durbar

Ia adalah singkatan popular merujuk kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Orang-Orang Besar Melayu yang pertama bertempat di Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1897. Awalnya ia hanya merupakan pertemuan biasa dikalangan Raja-Raja dan Pembesar Melayu bersama Residen dan Persuruhjaya Tinggi Inggeris, bagaimanapun ia akhirnya diiktiraf sebagai satu mesyuarat rasmi membincangkan tentang Agama, Ada Istiadat dan lain-lain perkara berkaitan dengan orang Melayu dibincangkan.


Umumnya Mesyuarat pertama Majlis Raja-Raja ini tiada sebarang keganjilan yang nyata, cuma sewaktu mesyuarat ini berlangsung selama empat hari Kerajaan Siam yang berjiran dengan negeri-negeri Melayu di Semenanjung tidak dijemput dan ia menyinggung perasaan Raja Siam ketika itu yang mana dia kemudiannya bertindak secara drastik menguatkan pengaruhnya keseluruh wilayah dalam pengaruhnya. Usai majlis mesyuarat tersebut semua ahli dan mereka yang terlibat telah merakam foto kenang-kenangan bukti majlis bersejarah tersebut, hari dan tahun berganti hinggalah ada usaha mengenal pasti individu yang dirakam di perkarangan Istana Negara, Kuala Kangsar itu. Agak mengejutkan buat kami nama tokoh besar dari Kelantan turut dicatat sebagai individu yang hadir dalam mesyuarat tersebut.


Gambar ini disebarkan melalui media sosial tanpa menjelaskan lembaran ini dari makalah mana, yang pasti hampir keseluruhan individu dikenal pasti termasuk Tok Kenali (37) dan Tok Janggut (49).

Mengejutkan

Tok Kenali dan Tok Janggut sangat terkenal di Kelantan hingga ke hari ini, popularitinya sebaris dengan lagenda Che Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong, sebab itu apabila terpapar dua nama ini mencetuskan perasaan ingin tahu yang mendalam.

Berdasarkan kepada maklumat yang ada pada gambar Durbar pertama itu, kami cuba bandingkan gambar sebenar Tok Kenali dan lakaran wajah Tok Janggut oleh warisnya dengan gambar yang tersebar itu:

Setelah dibandingkan gambar Tok Kenali yang diketahui umum dengan versi Durbar 1897 didapati wajah keduanya sangat berbeza dan boleh dikatakan bukan orang yang sama walau tercatat nama ikon ulama Kelantan itu. Gambar Tok Janggut pula didapati ada iras antara lakaran dengan gambar yang dirakam 120 tahun lalu itu, namun dipercayai individu yang ditanda sebagai Tok Janggut itu bukan individu sama yang mempertahankan Pasir Puteh dari jejak Inggeris.


Alasan

Kami menolak tentang penamaan Tok Kenali dan Tok Janggut dalam gambar Durbar pertama itu atas beberapa alasan, antaranya:

  1. Keduanya merupakan rakan sepengajian ketika di Tanah Suci Mekah, Tok Kenali berada di Kota Mekah selama 22 tahun dan hanya kembali ke Kelantan pada tahun 1909, manakala Tok Janggut berada di Kota Mekah selama lebih dari 30 tahun dan hanya kembali ke Kelantan dalam tahun 1911.

  2. Durbar adalah Mesyuarat antara Raja-Raja Melayu yang berada dibawah naungan Inggeris dikenali sebagai Negeri-Negeri Bersekutu, manakala pada tahun 1897, Kelantan belum lagi menjadi bahagian dalam pentadbiran Inggeris. Mustahil Kelantan menghantar wakil ke mesyuarat tersebut tambahan pada masa tersebut pengaruh Siam sangat kuat dalam pentadbiran di Kelantan.

  3. Perbandingan gambar juga jelas menunjukkan perbezaan yang ketara antara individu sebenar dengan individu yang disangka kedua tokoh Kelantan itu.




Rujukan:

  • http://www.arkib.gov.my/web/guest/mesyuarat-durbar-negeri-negeri-melayu-bersekutu-yang-pertama-kuala-kangsar-julai1897

  • http://www.orangperak.com/persidangan-raja-melayu-pertama-kali-diadakan-di-kuala-kangsar-pada-1897.html

bottom of page