top of page

INSKRIPSI GRAHI : TERUNGKAIKAH MISTERI?


Kedudukan Grahi

Pendahuluan

Cradle of Civilasation begitulah jolokan yang pernah diberi oleh pengkaji sejarah Indie, Cik Srikandi dalam laman blognya sedikit masa yang lalu kepada Grahi, negara kota lama pasca Sriwijaya, ramai yang kagum dengan jolokan tersebut termasuklah saya sendiri. Gelaran ini kemudiannya digunapakai sejumlah blogger lain kerana nama itu sangat menarik dan menangkap, malangnya tidak ramai yang meneliti secara mendalam kenapa gelaran tersebut diberikan oleh Srikandi.


Nama Grahi tidak lagi dipakai pada masa sekarang, ia telah digantikan dengan nama Chaiya terletak dalam wilayah Nakhon Si Tammarat di kawasan Selatan Thailand. Benar, pusat ketamadunan bangsa Melayu ini berada dalam kawasan Thailand dengan majoritinya menganuti agama Buddha, ramai yang skeptikal dan ada yang menuduh kami cuba membuat claim namun kita harus sedar bahawa penduduk di rantau ini dahulunya juga menganuti agama tersebut sebelum memeluk agama Islam. Jelas disini, sebelum dikuasai oleh orang-orang Thai, kawasan tersebut merupakan penempatan orang-orang Melayu, malah mereka mempunyai pemerintahan sendiri, hal ini dikukuhkan pula dengan jumpaan prasasti atau Inskripsi yang ditulis dalam bahasa Khmer.


Grahi dan Kepentingannya

Nama Grahi sebenarnya telah hilang dalam sebutan harian masyarakat umum baik di kalangan orang-orang Melayu mahupun orang-orang Siam, namun begitu nama ini tercatat dalam rekod China iaitu Ling-wai-tai-ta dan Chu-fan-chi. Rekod tersebut menyatakan Grahi yang dirujuk sebagai Kia-lo-hi adalah satu dari lima belas negeri dalam Kerajaan Malayu (San-fo-tsi). Sekitar tahun 1183, kerajaan Malayu semakin kuat hingga dapat menakluki seluruh tanah jajahan Sriwijaya malah pada tahun tersebut Palembang yang menjadi pusat pentadbiran Sriwijaya turut berjaya dikuasai oleh Kerajaan Malayu, kemuncak penguasaan Malayu ini ia berjaya menguasai Pahang, Terengganu, Langkasuka, Kelantan, Kuala Berang, Tambralingga, Grahi, Palembang, Sunda, Jambi, Lamuri, Sri Lanka, Cherating, Chiang Mai?, dan Batak.


Lebih menarik, satu catatan yang diukir pada lapik patung Buddha di Wat Hua Wiang, Chaiya dalam bahasa Khmer berbunyi:


çaka thoḥ nakṣatra ta tapaḥ sakti kamrateṅ añ Mahārāja çrīmat Trailokyarājamaulibhūṣanabarmmadeba pi ket

yeṣṭha noḥ buddhabāra Mahāsenāpati Galānai ta cāṃ sruk Grahi ārādhanā ta mrateṅ çrī Ñāno thve pra

timā neḥ daṃṅon mān saṃrit bhāra mvay tul bir ta jā byāy mās tap tanliṅ ti ṣthāpanā jā prati

mā mahājana phoṅ ta mān sarddhā ‘anumodanā pūjā ṇamaskāra nu neḥ leṅ sa -- pān sarvvajñatā

— ha ta jā --


Terjemahan:

Pada tahun Saka 1105 (1183), atas perintah Kamraten An Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusanawarmadewa, hari ketiga bulan naik bulan Jyestha, hari Rabu, mahasenapati Gelanai yang memerintah Grahi menyuruh mraten Sri Nano membuat arca Buddha. Beratnya 1 bhara 2 tula, dan nilai emasnya 10 tamlin.


Inskripsi ini sebenarnya mengesahkan kebenaran rekod China yang telah disebutkan di atas berkenaan Kia-lo-hi sebagai salah satu negeri yang dikuasai oleh Malayu, manakala maklumat selebihnya menggambarkan kekuasaan Trailokyaraja selaku Maharaja dengan memerintahkan Mahasenapati Gelanai yang memerintah Grahi untuk membuat patung Buddha.


Patung Buddha Grahi

Kamraten An Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusanawarmadewa

Banyak pendapat dikemukakan tentang beliau, nama yang tercatat di Inskripsi Grahi pula adalah gabungan gelar kebesaran Khmer dan Melayu dari Sumatera. Ada pendapat menjelaskan bahawa Kamraten An adalah gelar dari Khmer, namun ramai yang berpendapat bahawa Trailokyaraja adalah seorang Raja berdarah Melayu berasal dari Kerajaan Malayu yang menguasai seluruh tanah jajahan Sriwijaya di Sumatera dan Semenanjung yang kemudiannya mengasaskan kerajaan Dharmasraya.


Perbincangan mengenai Trailokyaraja akan membawa satu polemik yang panjang dan tidak boleh diselesaikan dalam artikel ringkas ini, pastinya banyak kerajaan-kerajaan kecil hari ini turut mendakwa keturunan mereka adalah dari raja Malayu ini. Pengamat sejarah Negeri Kelantan juga turut menyatakan bahawa keturunan Raja-Raja Negeri Kelantan adalah dari Trailokyaraja juga malah ia turut menitihkan banyak keturunan raja-raja negeri lain, satu penelitian yang empirikal perlu dilakukan.



Misteri yang hampir Terungkai

Berdasarkan kepada Inskripsi Grahi dapat diketahui akan satu nama tempat yang dikenali sebagai Grahi dan ia pula dapat disesuaikan dengan catatan dari China yang menyatakan Kia-lo-hi sebagai satu negeri dalam San-fo-tsi (Malayu) bersama-sama empat belas negeri lain. Selain itu dari inskripsi ini juga dapat kita ketahui akan nama Maharaja Malayu yang menguasai bekas tanah jajahan Sriwijaya.


Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusanawarmadewa berkuasa ke atas Mahasenapati Gelanai yang memerintah Grahi, bagi menunjukkan kekuasaannya, Trailokyaraja telah memerintahkan agar Gelanai untuk melaksanakan suatu tugas mudah iaitu dengan membina Patung Buddha dengan tujuan untuk menguji ketaatan pemerintah Grahi tersebut. Mahasenapati Gelanai sedar bahawa Trailokyaraja mahu menguji ketaatannya telah bertindak menyuruh mraten Sri Nano untuk membina patung tersebut dan sebagai tanda keikhlasan dan ketaatannya kepada Trailokyaraja, satu patung Buddha yang diperbuat dari tembaga telah dihasilkan dengan beratnya 1 Bhara 2 Tula bernilai 10 Tamlin Emas. Hari ini, patung tersebut di simpan dalam Muzium Kebangsaan Bangkok, Thailand.


Pastinya Trailokyaraja turut mengarahkan empat belas lagi negeri yang berada dalam kekusaannya melaksanakan tugas-tugas tertentu sebagai tanda ketaatan kepada kerajaan Malayu, cuma tugas Mahasenapati Gelanai sahaja yang tercatat pada usaha penduduk Grahi dalam melaksanakan tugas yang diberi oleh Maharaja mereka.


Satu hal yang menjadi tanda tanya di sini adalah kenapa catatan di lapik patung Buddha tersebut direkod dalam bahasa Khmer? Adakah bangsa Khmer yang mendiami kawasan Segenting Kra pada masa tersebut … kisah lisan atau riwayat tradisi masyarakat setempat menyatakan kawasan ini adalah tempat tinggal “Jawa” antara lain maksudnya merujuk kepada leluhur orang Melayu, adakah berlaku asimilasi dan perpindahan penduduk dari Malayu dan menggantikan penduduk asal yang berbangsa Khmer?



Rujukan:

  • "Prasasti Grahi." Ensiklopedia Berbahasa Indonesia. N.p., n.d. Web. 22 June 2017. <http://ensiklopedia-berbahasa-indonesia-q.indonesia-info.org/id3/288-154/Prasasti-Grahi_110343_ensiklopedia-berbahasa-indonesia-q-indonesia-info.html>.

  • https://id.wikipedia.org/wiki/Prasasti_Grahi

  • http://www.allposters.com/-sp/The-Buddha-of-Grahi-the-Most-Notable-Image-of-the-Srivijaya-Period-Posters_i10093921_.htm

  • Braginskij, Vladimir Borisovič. Classical Civilizations of South East Asia: An Anthology of Articles Published in "The Bulletin of the School of Oriental and African Studies. Londres: RoutledgeCurzon, 2002. Print.


bottom of page