RAJA SAKTI DALAM SEJARAH KELANTAN
Artikel ini juga diterbitkan dalam portal KelateLoni.net
Asal Muasal
Namanya sangat ampuh, jarang raja menggunakan kata SAKTI pada nama tubuhnya, namun itulah nama yang meniti dibibir orang tua dulu kala yang ditutur dari generasi ke generasi. Siapakah sebenarnya beliau?
Bari orang dulu-dulu atau dari sudut mitos, Raja Sakti dikatakan merupakan anak angkat kepada Raja Bersiong bersama-sama Puteri Mani Kemenyan juga sering disebut sebagai Puteri Buluh Betong. Menurut cerita lagi, Raja Bersiong telah membawa Raja Sakti dan Puteri Mani Kemenyan ke Kota Jembal dan mengahwinkan mereka seterusnya ghaib meninggalkan kedua anak angkatnya, semenjak itu Raja Sakti telah muncul sebagai seorang pemerintah di Jembal yang sangat disegani sekitar rantau tersebut.
Secara ilmiahnya, Raja Sakti merupakan putera kepada Datu Abdul Kadir yang merupakan Datu ketiga di Kota Jembal selepas datu yang pertama iaitu Datu Nik Jamaluddin, penggelaran datu ini mempunyai sejarah tersediri dan ia akan dibicarakan dalam tulisan yang lain, fokus kali ini adalah tentang Raja Sakti itu sendiri.
Kemunculan nama Raja Sakti dalam catatan Sejarah Kelantan abapbila beliau ditabalkan sebagai Datu Kelantan, menggantikan ayahandanya Datu Abdul Kadir yang mangkat sewaktu peristiwa pengepungan Siam di Pengkalan Datu. Waktu itu dikhabarkan Raja Sakti sedang bertapa di Bukit Marak, beliau keluar dari pertapaan sekejap bagi menguruskan pengebumian jenazah ayahandanya serta menjalani istiada pertabalan Datu, selesai segala urusan dia kembali semula menyambung pertapaannya, hal ini menyebabkan berlaku kecelaruan dalam pentadbiran di Kelantan. Bapa saudara Rajaj Sakti iaitu Raja Abdullah telah mengambil kesempatan tersebut untuk merampas kuasa dan mengisytiharkan dirinya sebagai Datu Kelantan, kemudian baginda bertindak memecat semua pembesar yang menabalkan Raja Sakti sebagai Datu Kelantan
Tindakan Raja Abdullah mengisytiharkan diri sebagai Datu Kelatan telah membuatkan negeri Kelantan berpecah kepada dua bahagian, satu bahagian dari Pengkalan Datu dan sepanjang pantai seluruh Kelantan Barat mengiktiraf Raja Sakti sebagai Datu Kelantan, manakala rakyat yang mendiami Kota Jelasin dari Kelantan Timur hingga terus ke Selatan mengakui Raja Abdullah sebagai Datu Kelantan.
Kerajaan Pusat di Patani
Waktu ini Kelantan adalah salah satu negeri yang bergabung membentuk Persekutuan Patani Besar semenjak beberapa generasi sebelum kepimpinan Raja Sakti, persengketaan di Kelantan ibrat orang mengantuk disorongkan bantal buat Raja Biru, pemerintah di Patani pada masa tersebut. Raja Biru mengabaikan Kelantan yang dalam kucar kacir kerana dia memang mahu menguasai Kelantan secara mutlak, di tengah kekalutan tersebut, Raja Patani itu telah mencadangkan agar Nik Ibrahim, Datu Jambu di hantar ke Kelantan bagi mengambil alih jawatan Datu Kelantan dengan mengenepikan Raja Sakti dan Raja Abdullah. Bagaimanapun cadangan tersebut ditolak oleh Datu Jambu tersebut kerana dia bimbang akan tercetusnya Perang Saudara di Kelantan. Tidak lama selepas itu Ayuthya kembali mengancam kerajaan pusat Patani menyebabkan seluruh pertahanan Patani menumpukan perhatian kepada ancaman yang dibuat oleh musuh tradisi tersebut malah pentadbiran Patani juga turut memikirkan ancaman tersebut hingga persengketaan di Kelantan tidak diambil berat.
Ayuthaya menggunakan Ligor sebagai proksinya di kawasan Segenting untuk mengasak negeri-negeri Melayu terutama sekali Patani, penghujung 1632 satu angkatan laut dengan kekuatan 10,000 anggota tentera berjaya dihimpun oleh kerajaan Patani lalu melancarkan serangan ke atas Ligor, Raja Sakti juga turut terlibat dalam serangan tersebut bersama-sama lapan ribu anggota tentera atas permintaan Raja Biru sendiri bagi menggantikan tempatnya sebagai Raja Patani yang sedang memimpin angkatan perang menggempur Ligor. Seterusnya, Raja Biru meminta pula Raja Sakti agar menghantar tenteranya dari Kelantan ke Ligor untuk memperkuatkan lagi angkatan tenteranya yang sedia ada dan memastikan rancangannya menjatuhkan Ligor berjaya. Segala permintaan Raja Biru dituruti oleh Raja Sakti namun setelah bertempur sepanjang tahun 1633, Raja Sakti pulang ke Kelantan bersama tenteranya meninggalkan Raja Patani memerintah Ligor setelah menyedari bahawa baginda sedang dipergunakan sedangkan Raja Patani tidak pernah mengiktirafnya sebagai Datu Kelantan yang sah. Atas soal tersebut juga, Raja Sakti cuma meghantar sejumlah dua ribu orang tentera dari Kelantan ke Patani sewaktu kerajaan pusat tersebut digempur hebat oleh Siam yang dibantu oleh Belanda pada 1634.
Retak Menanti Belah
Raja Ungu telah mangkat pada 1635, kedudukannya digantikan pula oleh anaknya, Raja Kuning sebagai Raja Patani, semenjak itu hubungan antara Patani dengan Kelantan terutama dengan Raja Sakti makin erat dengan kerajaan pusat kerap melawat negeri ini atas hubungan diplomatik untuk memakmurkan ekonomi kedua-dua negeri hinggalah pada 1638 apabila Raja Kuning memberikan perakuan bersurat mengesahkan Raja Sakti sebagai Datu Kelantan yang sebenar. Raja Abdullah yang mengisytiharkan wilayahnya merdeka dari Patani telah memakai gelaran Sultan hampir sembilan tahun sebelum mangkat pada 1646 akibat peristiwa menyayat hati antara baginda dengan isterinya, Puteri Saadong yang berjaya mendapat kebebasan daripada Raja Prasat Thong.
Adinda Sultan Abdullah, Abdul Rahim telah menggantikan tempat Sultan Abdullah sebagai Raja Kelantan, baginda dinyatakan memerintah kawasan kekuasaannya di Kelantan dengan zalim, merampas kesemua gadis dan wanita cantik tanpa mengira keturunan baik orang biasa mahupun keluarga bangsawan. Kisah lagenda masyarakat Kelantan menyatakan kejamnya perlakuan zalim Sultan Abdul Rahim menyebabkan Puteri Saadong muncul dari alam ghaib lantas menggulingkan satu batu besar dari atas bukit hingga ke tenggelam dalam sungai babun lalu menyumpah Sultan Abdul Rahim dan anak-anak haramnya menerima nasib malang selama tujuh keturunan atau sehingga timbul batu tersebut. Realitinya, Raja Sakti menunggu apakah tindakan yang akan diambil oleh Raja Kuning bagi mengamankan Kelantan yang kini berada dikancah perang saudara memandangkan tindakan zalim yang dilakukan oleh Sultan Abdul Rahim tersebut. Tindakan Patani yang membisu terhadap permasalahan di Kelantan menyebabkan Raja Sakti berpendapat bahawa Patani memang ingin melihat keluarga diRaja Datu berperang sesama sendiri dan pupus dari sejarah dan menggantikan mereka dengan datu yang lain memerintah terus dari kuasa pusat.
Akibatnya, Raja Sakti telah melancarkan pemberontakan ke atas kerajaan pusat dengan membina angkatan perang pada 1649, mulanya Datu Kelantan itu melancarkan misi menyatukan Kelantan dengan menggempur secara mengejut kedudukan Sultan Abdul Rahim di Kota Mahligai. Misi tersebut berjaya dengan kematian Sultan Abdul Rahim mati akibat tikaman di tepi Tasek Lelayang Mandi, Kelantan disatukan kembali dengan Raja Sakti kini sebagai pemerintah tunggal. Baginda menggempur pula kerajaan pusat di Patani bagi menuntut keadilan buat Kelantan setelah beberapa kali tidak mendapat keadilan yang sewajarnya, pertengahan tahun 1650, Raja Sakti menyerang kerajaan pusat. Patani ketika itu berada dalam keadaan yang lemah setelah mengalami kekalahan dalam pertempuran dengan Ayuthya menyebabkan Raja Kuning hanya menyerah kalah tanpa pertempuran ketika angkatan tentera Kelantan melancarkan serangan, bagaimanapun terdapat versi lain yang menyatakan serangan Raja Sakti ke atas Patani pada waktu tersebut adalah untuk membantu Raja Kuning yang tidak lagi berdaya menghadapi serbuan Ayuthya, Raja Sakti muncul dan memimpin angkatan tenteranya dan juga Patani menghalau serbuan musuh hingga jauh ke Ligor malah berjaya menguasai Singgora dan Pathalung pada 1651.
Kejayaan Raja Sakti pada 1650 membuatkan baginda berjaya menguasai kerajaan pusat, memerintah Patani dan Kelantan, bagaimanapun baginda masih mengekalkan Raja Kuning untuk mendtadbir Patani di bawah kekuasaannya. Raja Kuning kecewa dengan keruntuhan Patani telah turun dari takhta pada 1651 dan berangkat ke Johor, negeri kelahiran suaminya, namun ketika dalam pelayaran baginda jatuh gering dan didaratkan di Kota Pengkalan Datu, beberapa bulan di rawat, akhirnya baginda Raja Kuning mangkat dan dimakamkan berhampiran Kampung Panchor.
Semenjak berjaya menguasai Patani, Raja Sakti telah mengasaskan satu kerajaan baru yang dikenali sebagai Patani Besar, bagi menggantikan kedudukan Raja Kuning, baginda telah melantik putera sulungnya bernama Raja Bahar memerintah Patani bersama permaisurinya Puteri Mas Kelantan. Sempadan Patani Besar ketika itu merangkumi Ligor di utara dan Pahang di Selatan manakala Kedah menjadi sempadan di bahagian barat, Raja Sakti muncul sebagai pendiri keluarga bangsawan yang dikenali sebagai Keluarga diRaja Jembal pemerintah Kelantan-Patani. Meskipun Raja Sakti adalah pemerintah Tunggal, Kelantan dan Patani berada pada kedudukan yang sama di mana bayaran ufti daripada Patthalung dan Singgora diterima Patani, manakala ufti dari Terengganu diterima oleh Kelantan. Sebelas tahun menguasai satu wilayah yang luas tidak menjadikan baginda Raja Sakti alpa, bagaimapun baginda dinyatakan telah mangkat pada 1662 kesan daripada kecederaan lama ketika bertempur di lautan.