Benarkah Puteri Saadong Ada 3
**Artikel ini turut disiarkan dalam portal KelateLoni
Bila sahaja dibuka kisah Puteri Saadong, pasti ramai yang akan turun memberi pendapat dan pandangan serta berkongsi kisah yang mereka tahu tentang puteri ini. Rata-rata netizen akan bercerita tentang kisah tragik antara puteri tersebut dengan suaminya, Raja Abdullah malah ada pula memomokkan kisah puteri tersebut, tidak kurang juga berkongsi cerita-cerita mistik berkaitan dengan lagenda tersebut.
Bagus untuk terus mengekalkan cerita-cerita tersebut kerana ia merupakan warisan sesebuah masyarakat malah diperingkat dunia ia dirujuk sebagai folklore bermaksud kisah rakyat. Namun setiap kisah tersebut perlu diperhalusi dan dianalisa berdasarkan kepada nilai-nilai dan norma masyarakat yang dibatasi dengan budaya dan kepercayaan tersendiri untuk mengambil pengajaran dan pengetahuan dari kisah tersebut.
Sepanjang penulis meneliti tentang kisah lagenda masyarakat Kelantan dapat disimpulkan bahawa cerita tentang Puteri Saadong itu merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku cuma ia telah ditambah dengan unsur supernatural dengan tujuan untuk mengkagumkan pendengar kisahnya. Ramai mempercayai Puteri Saadong cuma ada satu, namun setelah diteliti dan diselidik terdapat tiga orang yang memakai nama Puteri Saadong dan mereka hidup di zaman yang berbeza-beza.
Puteri Saadong ada 3
Tajuk artikel ini berbentuk soalan, jadi sebagai menjawab tajuk di atas jawapannya adalah YA, ada tiga Puteri Saadong yang dicatatkan dalam Sejarah Kelantan dan ia memainkan peranan penting dalam leluhur Raja-Raja Kelantan. Buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa Bersejarah memuatkan tiga lembaran panjang salasilah pemerintah Kelantan yang diandaikan bermula pada kurun ke-11, dalam lembaran tersebut tercatat nama Puteri Saadong II dan Puteri Saadong II, hal ini mencetuskan pencarian buat sekian lama siapakah Puteri Saadong yang pertama.
Puteri Saadong I (sekitar 650-700 Masihi)
Kisah beliau tidak begitu menonjol mungkin disebabkan keperwiraan dan krebiliti suaminya mengatasi mana-mana keperwiraan tokoh-tokoh lain termasuk isterinya yang didakwa sebagai Puteri Saadong yang pertama. Nama tubuhnya adalah Dewi Jayanaga, permaisuri kepada Sri Jayanaga yang disebut sebagai pengasas kerajaan Sriwijaya, beliau sentiasa berada disamping suaminya termasuklah ketika dimedan perang. Dikisahkan bahawa Sri Jayanaga sentiasa bergerak dengan tenteranya untuk memastikan perajuritnya sentiasa bersemangat atas sebab itu juga permaisurinya turut serta bersamanya dengan ditemani oleh adiknya bernama Shakyakirti bertindak sebagai guru agama, beliau juga dikenali sebagai Begawan Kasawsuddhi yang kemudiannya disebut-sebut sebagai Awang Selamat
Puteri Saadong II (sekitar 1350 -1400 Masihi)
Nama tubuhnya adalah Siti Zubaidah namun dia juga dikenali sebagai Dewi Nareswari, beliaulah disebut sebagai Puteri Saadong II adalah dipercayai pada waktu ini Islam sedang berkembang sekitar Alam Melayu namun ia belum menyeluruh hanya golongan bangsawan sahaja yang memeluk Islam. Justeru, raja-raja dan kerabatnya masih mengekalkan nama yang mempunyai unsur Hindu-Buddha. Siti Zubaidah merupakan puteri bongsu Raja Bharubhasa membesar bersama-sama dengan abang-abangnya iaitu Maharaja Kumara, Sultan Sulaiman dan Sultan Ibrahim, beliau juga sangat dikasihi oleh ibu saudaranya Dewi Durga (Che Siti Wan Kembang). Kisah hidupnya telah diabadikan dalam satu syair yang berjudul Syair Siti Zubaidah Perang China, ia memaparkan kesetiaan kepada suaminya, syair tersebut juga merakamkan keperwiraan beliau menyelamatkan suaminya yang ditawan musuh dari China.
Puteri Saadong III (sekitar 1550 – 1650 Masihi)
Kisah hidup beliaulah yang sering diperkatakan oleh masyarakat umum terutamanya di Kelantan, nama tubuhnya adalah Puteri Mariam anak perempuan Sultan Adiluddin yang lebih dikenali sebagai Raja Loyor. Selepas kemangkatan ayahanda dan bondanya, Puteri Mariam yang masih kecil telah dipelihara oleh ibu saudaranya Paduka Che Siti Wan Kembang lalu digelar sebagai Puteri Saadong kerana rupa parasnya yang jelita walaupun masih diusia kanak-kanak. Atas sebab itu juga, dia segera dikahwinkan dengan Raja Abdullah kerana khabar kecantikannya telah diketahui oleh Raja Siam, ancaman dari Siam makin menjadi-jadi hingga Puteri Saadong dan Raja Abdullah terpaksa berpindah dari Kota Jembal dan membuka penempatan baru dikenali dengan nama Kota Jelasin. Raja Abdullah meninggalkan Puteri Saadong kembali ke mempertahankan Kota Jembal, Siam yang menyedari bahawa Puteri Saadong tidak lagi tinggal di Jembal telah menghantar pasukan lain untuk menjejak puteri tersebut. Usaha Siam berjaya, Puteri Saadong menyerah diri tanpa perang kerana kasihkan rakyatnya yang tidak berdosa dari menjadi mangsa, malah perkara tersebut juga tidak diketahui oleh Raja Abdullah, suaminya yang sibuk mempertahankan Kota Jembal. Secara tidak semena-mena Siam berundur dari pengepungan dan Raja Abdullah kembali semula ke Jelasin dan mendapati isterinya telahpun ditawan Siam, membuatkan hatinya luluh kecewa. Puteri Saadong yang di tawan cuba didekati Raja Siam, bagaimanapun raja itu telah jatuh sakit akibat penyakit kulit misteri untuk satu tempoh yang lama hinggalah Puteri Saadong menawarkan pertolongan untuk menyembuhkan penyakit itu dengan syarat Siam mesti menghantarnya kembali ke Kelantan. Raja Abdullah yang kecewa serta ragu-ragu tentang ketaatan dan kejujuran isterinya ketika dalam tawanan telah bertindak berkahwin lain, Puteri Saadong yang telah dihantar pulang merasa amat kecewa setelah mendapat tahu tindakan suaminya itu. Berlaku pertengkaran antara mereka hingga ia tidak terkawal lagi, tanpa sengaja Puteri Saadong telah tertikam dada Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya hingga akhir mangkat di pangkuannya.
Kesimpulan
Puteri Saadong sebenarnya adalah gelaran kepada golongan wanita sepertimana kita memakai gelaran Srikandi yang merujuk kepada wanita yang telah mempamerkan peribadi yang luar biasa mengatasi kebiasaan seseorang wanita pada masa ini. Ia juga bukan suatu yang eksklusif buat orang-orang Kelantan sahaja tapi kisah Puteri Saadong juga turut dikisahkan oleh orang-orang Kedah, Champa dan juga orang Filipina, ini menunjukkan kisah puteri ini sangat universal. Namun bagi masyarakat Kelantan, adalah disarankan kepada mereka untuk mengekalkan kisah Puteri Saadong versi Kelantan kerana ia merakam keadaan sosial negeri pada masa tersebut, tidak perlu untuk diselarikan dengan kisah atau penceritaan dari negeri lain. Ini kerana perbezaan versi memberi pembayang yang lebih jelas berkenaan pemerhatian terhadap ketokohan Puteri Saadong itu sendiri.