top of page

SENI KEBUDAYAAN KELANTAN YANG DILUPAKAN – TARIAN ASYIK


Masyarakat umum mengetahui bahawa Makyong adalah tarian tradisi masyarakat Kelantan dan tiada siapa yang mempertikaikannya, namun ramai tidak menyedari malah ada yang telah lupa bahawa ada satu tarian istimewa yang dipersembahkan dalam Istana Kelantan yang dikenali sebagai Tarian Asyik.


Tarian ini sebenarnya hanya dipersembahkan di Istana untuk Raja-Raja dan kerabatnya sahaja dan ia bukan untuk tontonan orang kebanyakkan, tarian ini juga turut dipersembahkan di Istana Patani. Mungkin atas sebab ia turut dikongsi oleh negara jiran, penggiatnya tidak mendakwa secara langsung tarian ini berasal dari Kelantan, namun atas perspekstif Malaysia ia dirujuk sebagai satu tarian klasik masyarakat Kelantan.


Asyik dalam pertuturan Kelantan lama bermaksud Kekasih, atas sebab itu tarian ini dipersembahkan dengan penuh kelembutan dan pergerakan yang tertib serta tersusun. Persembahan bermula dengan penampilan sepuluh orang penari lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya, kemudian munculah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari dengan diiringi muzik daripada rebab, gendang dan gedombak.


Penari asalnya terdiri daripada inang remaja di istana dengan memakai pakaian berkemban dengan tali pinggang dan mahkota kecil, ia dipersembahkan dihadapan raja dan permaisuri sewaktu dalam upacara perkahwinan iaitu pada masa malam berinai dan malam berinai besar di istana. Tarian ini ditarikan dengan rentak perlahan dan gemalai dengan setiap pergerakan mempunyai maksud tersendiri, bahagian utama Tarian Asyik dari duduk bersimpuh dengan gerakan membayangkan haiwan dan persekitarannya antaranya gambaran alunan ombak laut, burung melayang, ikan berenang, gajah berarak dan sebagainya, sesetengah pergerakan pula menyerupai gerakan tarian Makyong.


Kini tarian ini jarang sekali dipersembahkan di Kelantan, sebaliknya ia telah menjadi tarian temasya kebesaran negeri dan negara dan berbanding dengan statusnya dahulu eksklusif buat Raja-Raja Kelantan dan kerabatnya.


Klip Video : Tarian Asyik

bottom of page