Semangat Kemerdekaan
Sebut sahaja tentang MERDEKA dalam kepala mesti terlintas JEPUN dan INGGERIS, begitulah minda kita diarahkan … sekian lama kita disendatkan tentang keganasan JEPUN seolah-olah dunia itu telah kiamat bila mereka menjajah tanah air.. kita juga menjadi meluat dengan INGGERIS bila berbicara tentang kehilangan kekayaan negeri… bangsa kita digambar hidup melarat, miskin dan kebuluran ketika negeri kita dijajah.
KOMUNIS juga menjadi satu elemen yang sering dibangkitkan oleh media tanahair tatkala kita memasuki bulan Ogos yang diwar-warkan sebagai BULAN KEMERDEKAAN. Menyuntik semangat patriotik rakyat, maka pada bulan ini beberapa filem Melayu dengan tema tersebut ditayangkan di panggung.. walhal tahun depan cerita itu senyap hinggalah santak ke bulan kemerdekaan tahun hadapan akan ditayangkan pula filem dengan tema yang sama.
JEPUN, INGGERIS dan KOMUNIS menjadi bahan saban tahun bagi mengingatkan tentang patriotik dan cintakan tanah air… begitulah semangat kemerdekaan kita diterapkan.
Saudara, Kefahaman tentang kemerdekaan sebenarnya sangat subjektif dan ia boleh sahaja berbeza pada setiap individu, malah pengertian kemerdekaan itu menjadi sangat berbeza apabila ia terkait pada peringkat negara. Faham MERDEKA pada diri adalah KEBEBASAN mutlak tanpa sekatan baik pada fizikal dan mental namun kemerdekaan diri bergantung pula pada nilai sosial yang dibatasi dengan pegangan agama dan kefahaman (hanya ORANG GILA mempunyai kebebasan mutlak pada diri dia).
KEMERDEKAAN pada sesebuah NEGARA akan mencapai maksud mutlaknya apabila ia dapat membentuk UNDANG-UNDANG, PERLEMBAGAAN dan mendirikan KEDAULATAN sendiri tanpa mana-mana pengaruh luar, seterusnya membolehkan RAKYAT membentuk kerajaan menerusi satu proses yang adil dan saksama dari kalangan mereka mengikut undang-undang negara demi keamanan dan kesejahteraan negara tersebut.
Saudara dan Saudari yang dihormati sekalian,
Berbicara tentang KEMERDEKAAN di MALAYSIA masih tetap berputar sekitar 31 OGOS 1957, diakui tarikh tersebut sememangnya keramat buat seluruh warga Malaysia, rasminya pada hari tersebut kita rasmi menjadi sebuah negara yang mempunyai kedaulatan tersendiri walaupun mendapat ancaman dari negara tetangga.
Seterusnya semenjak dari itu KERAJAAN yang dipilih oleh generasi terdahulu terus mendepani pelbagai ancaman terutama ancaman PENGGANAS KOMUNIS yang cuba meruntuhkan KEMERDEKAAN yang kita telah capai hingga mereka meletakkan senjata pada penghujung dekad 80an. Peringkat awal kemerdekaan dahulunya, Indonesia dan Filipina cuba menggugat kedaulatan kita dengan Indonesia melancarkan konfrontasi kententeraan sebagai bantahan kepada kemerdekaan yang telah dicapai atas dakwaan mereka Semenanjung juga adalah sebahagian daripada wilayah mereka, Filipina juga membuat tuntutan ke atas Sabah selepas negeri di Pulau Borneo itu menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963. Kita anggap Indonesia dan Filipina itu hanya salah faham terhadap kemerdekaan yang telah dicapai dan mewujudkan pakatan demi kedamaian sejagat yang seterusnya berkembang menjadi pertubuhan ASEAN hari ini. Namun agak menyedihkan selepas 8 tahun merdeka, SINGAPURA telah keluar dari gagasan Persekutuan Malaysia pada 1965, negara di selatan semenanjung itu kini merupakan antara salah satu kuasa ekonomi dunia malah suatu ketika masyarakat dunia terkeliru dengan mengenali semenanjung itu Singapura.
Saudara,
Secara kronologinya KEMERDEKAAN NEGARA ini bukan dikecapi secara PERCUMA walaupun kita tidak mengalirkan darah sepertimana jiran kita di Indonesia. Usaha yang berterusan digerakkan oleh KERAJAAN dan RAKYAT demi menjamin negara ini terus MERDEKA, namun saban hari ancaman penjajahan itu terus menerus membadai.
Justeru penghayatan erti kemerdekaan harus kita kembangkan, semangat cintakan tanah air wajar kita gerakkan. Singkirkan elemen serta anasir luar yang cuba menggoyahkan kemerdekaan negara ini, tapis setiap maklumat. Jangan terlalu leka dengan permainan politik semasa, sedang usaha mengekalkan KEMERDEKAAN negara ini sangat memerlukan kestabilan politik kerana kita hidup bersama dengan masyrakat majmuk yang terdiri dari berbilang bangsa. Negara kita mungkin tidak sempurna, jadi ia menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan negara ini lebih baik.
15 Ogos 2017 Nuraidil Zakaria Wageningen, Natherland