top of page

NAMAMU JALUR GEMILANG


Usiamu sebenarnya lebih tua berbanding tanah yang kau wakili, sepuluh tahun usia kau mendahului sebelum tanah ini merdeka. Kau diilham dan dilakar seorang anak watan bernama Mohamed bin Hamzah pada 1947 menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu.


Pencipta mu tidak mahu dikenali hinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1993. Masa berlalu, generasi berganti hingga muncul generasi yang bebas dari rasa terjajah menghamburkan kata nista bahawa kau adalah jelmaan kepada bendera Amerika Syarikat, awalnya kau hanya dikenal sebagai “Bendera Malaysia” namun selepas empat puluh tahun merdeka, kau diberi nama “Jalur Gemilang” demi memberi nafas baru buat generasi muda pada 1997 … tapi kau tetap dicerca dan dihina oleh pelampau yang ada di tanah ini, demi menjaga integriti dan ketelusan generasi terdahulu kita bongkar dan kita selidik siapa sebenar melahirkan lembaran kain yang dikenal jalur gemilang itu.


Pencarian bersungguh-sungguh oleh pihak berwajib menemukan maklumat penting tentang diri mu, telah dipastikan bahawa Mohamed bin Hamzah seorang arkitek dari Jabatan Kerja Raya Johor sebagai orang yang mengilham dan melakar dirimu seterusnya bersaing dengan 373 karyawan lain menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu pada 1947, ketika itu beliau berumur 29 tahun. 29 November 1949 kau dipilih manakala pada 23 Februari 1950 kau secara rasminya diangkat sebagai bendera yang akan mewakili satu tanah yang akan merdeka kemudiannya oleh Majlis Raja-Raja.


Pengiktirafan yang sewajarnya telah diberi kepada beliau pada 2005, apabila penciptamu itu diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia sebagai orang yang bertanggungjawab menzahirkan kau. Sedikit malang apabila pengiktirafan tersebut diberikan selepas 12 tahun pemergian beliau pada 1993 di Kampung Melayu Majidee Johor Bharu, juga agak mendukacitakan juga bagi warganegara ini kerana tidak dapat bertanya sendiri kepada beliau apakah signifikasi setiap “tanda yang dilakar” pada dirimu.


Pakar dan pencinta tanah air ini telah menjalankan selidikan mereka dan mendapati bahawa kau bukan diciplak dari bendera Amerika Syarikat kerana bendera negara terkuat dunia itu diilhamkan oleh Betsy Rose dari bendera bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris (East India Company - EIC) yang menjajah Amerika Utara sebelum 1776. Bendera EIC pula diambil daripada umbul-umbul Kerajaan Majapahit bernama “Getih-Getah Samudera” yang mempunyai 9 jalur merah putih, selepas kapal EIC belayar ke Kepulauan Melayu pada abad ke-17.


Kedua-dua Getih-Getah Samudera (jalur merah dan putih) dan Sang Dwaja/Pataka (merah dan putih) adalah variasi panji-panji kebesaran Kerajaan Majapahit. Jadi, kedua-dua Jalur Gemilang dan Sang Saka adalah warisan Nusantara. Malah, bendera jalur merah putih masih dikibarkan oleh Tentera Laut Indonesia dan dinamakan sebagai “Ular-Ular Perang”. Pengamat geopolitik tanahair pula melihat Getih-Getah Samudera lebih padan dengan jati diri kita sebagai bangsa pelaut/maritim, mereka juga menyata bahawa penciptamu itu telah berusaha untuk menggabungkan warisan identiti agama (bulan bintang Uthmaniyyah) dan warisan bangsa (jalur merah putih Majapahit) dalam representasi yang begitu moden dan dinamik, lihatlah betapa indahnya corak jalur dari dirimu melambai ketika dibelai angin. Malang sekali, kalau beliau masih hidup, pasti hatinya terhiris dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan terhadapmu.


Terima kasih buat Allahyarham Mohamed bin Hamzah, kami warga Malaysia sangat berbangga dengan dirimu yang menjadi inspirasi kami tak kira waktu gembira, suka atau duka. Simbol yang menyatupadukan kami semua. Lambang yang menjadi kebanggaan setiap anak Malaysia.


Artikel ini diubah suai dari karangan saudara Ayman Rashdan Wong bertajuk MENGENANG JASA MOHAMED BIN HAMZAH.

bottom of page