Maharaja Kumar, Raja Kelantan dalam Catatan Dinasti Ming [1411-1412]
Pendahuluan
Cendikiawan sejarah menyatakan amat rugi buat pengkaji sejarah terutama mereka yang menyelidik dan mengkaji tentang Sejarah Melayu sekiranya tidak merujuk kepada rekod-rekod asing terutama dari China dan hanya mengambil hasil kajian yang digarap oleh orientalis barat. Satu rekod dari China yang dikenali sebagai Ming Shih-lu menjadi sebutannya tatkala beliau membicarakan tentang Hang Tuah dan naskhah Sejarah Melayu dan katanya lagi rekod China itu boleh dicapai di atas talian.
Carian di internet menghasilkan dapatan seperti disarankan oleh cendikiawan tersebut, maklumat yang didapati melalui carian tersebut sungguh mengujakan, bukan sekadar Melaka yang tercatat malah banyak lagi yang dimuatkan dalam catatan tersebut malah laman sesawang itu sangat komprehensif kerana ia memaparkan catatan tentang kerajaan-kerajaan tua Asia Tenggara yang pernah kami muatkan dalam buku Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan.
Tulisan ini adalah lanjutan daripada artikel 1412 ~ Cheng Ho Melawat Kelantan, dalam artikel tersebut telah dijelaskan berkenaan nama Kelantan yang tercatat dalam Ming Shih-lu dan ia memberi beberapa gambaran berkenaan negeri Kelantan pada masa tersebut serta misteri rajanya yang dirujuk sebagai Ma-ha-la-zha Ku-ma-er.
Leluhur Raja Kelantan
Sukar sebenarnya untuk mengesan siapakah gerangan pemerintah Kelantan kurun ketiga belas, rata-rata rakyat Kelantan megetahui bahawa negeri ini terbentuk sekitar 1750 yang diasaskan oleh Long Yunus begitu juga dengan sumber rujukan banyak yang membincangkan perkara sekitar konflik Long Yunus dan perwarisnya. Namun bagi mereka yang benar-benar meminati sejarah Negeri Kelantan pasti tahu sumber rujukan tepat berkenaan raja-raja lama negeri ini, namun ia kekal sebagai satu-satunya rujukan yang membicarakan perihal ini ia dikenali dengan tajuk Keturunan Raja-Raja Negeri Kelantan dan Peristiwa Bersejarah tulisan Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) – Allahyarham dan diterbitkan oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, ia juga turut memuatkan maklumat mengenai Maharaja Kumar, yang mana ia ditulis sebagai Maharaja Kumara.
Makalah tersebut memuatkan tiga helaian panjang tentang keturuan Raja-Raja yang memerintah Kelantan hari ini, ia bermula dari satu nama iaitu Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa dipercayai adalah Raja Dharmasraya (Malayu) mempunyai pemerintahan di Sumatera dan sekitar kawasan Segenting Kra di Semenanung. Baginda dilaporkan mempunyai tiga orang putera iaitu Maharaja Suran, Sang Sapurba dan Ken Arok, daripada jalur Maharaja Suran inilah lahirnya Maharaja Kumar ini.
Carta keturunan di atas menjelaskan siapakah Maharaja Kumar yang tercatat dalam Ming Shih-lu, sebenarnya semenjak dari zaman Raja Sakranta lagi leluhur raja-raja Kelantan ini menghadapi masalah dengan Siam yang sentiasa melancarkan ekspedisi perluasan kuasa mereka hingga kemuncaknya ketika pemerintahan Raja Bharubhasa apabila tenteranya bergabung dengan tentera pimpinan Gajah Mada. Ketika ini dinyatakan Siam turut berada di bawah kekuasaan tentera gabungan ini dan ia digambarkan sebagai kejayaan hagemoni Majapahit dibawah pimpinan Gajah Mada, namun tidak lama selepas kejayaan ini Raja Bharubhasa mangkat dan tidak lama selepas itu Gajah Mada juga mangkat, ada mitos menyatakan mereka berdua telah diangkat ke kayangan kerana pencapaian mereka melebihi manusia biasa ~ Wallahualam.
Identiti
Maharaja Kumar sebenarnya mempunyai banyak gelaran berikutan baginda seringkali dilantik sebagai Raja Muda atau wakil kepada ayahandanya Raja Bharubhasa yang sangat ambitious, semenjak dari era pemerintahan Langkasuka. Salasilah raja-raja Kelantan menyenaraikan gelaran yang diberi kepada baginda antaranya:
Raja Aria di Gunung
Raden Mas Pamari
Raja Tanjungpura
Sultan Baki Shah
Maharaja Kumara
Raja Kariksan
Gelaran ke empat iaitu Sultan Baki Syah merupakan nama terkenal dikalangan rakyat Kelantan dan ia juga adalah nama sebenar baginda, gelaran ini secara rasmi digunakan ketika baginda menggantikan tempat ayahandanya yang hilang tadi pada 1362, pada masa ini gelar Maharaja Kumar belum dipakai. Lapan belas tahun kemudian iaitu pada 1380, Sultan Baki Syah telah mengetuai satu rombongan besar dengan disertai seluruh kaum kerabatnya telah berlayar ke Majapahit untuk bertemu dengan Sri Bhatara Majapahit, Hayam Wuruk untuk berunding secara rasmi tentang pembahagian empayar Majapahit yang dibentuk ketika zaman Raja Bharubhasa dan Gajah Mada.
Sultan Baki berani membuat tuntutan sebegitu kerana baginda sedar, pemerintahan Hayam Wuruk pada masa tersebut berada dalam keadaan yang lemah berikutan terdapat sebilangan pembesar Majapahit tidak menyokong pentadbirannya, selain itu kehilangan Gajah Mada turut melemahkan pentadbiranya. Maharaja Majapahit tersebut bersetuju untuk menetapkan secara rasmi pembahagian Majapahit kepada dua bahagian iaitu Timur dan Barat, berasaskan kepada pelan pembahagian pembayaran ufti yang ditetapkan oleh Gajah Mada sebelum itu, kawasan yang dipersetujui antara Hayam Wuruk dengan Sultan Baki Syah seperti di bawah:
Mahapahit Timur mengandungi Pulau Jawa, Kepulauan Nusa Tenggara, Kepulauan Maluku dan Ternate, sebahagian daripada Irian Barat, Pulau Sulawesi, Kepulauan Sulu dan Kalimantan Timur.
Majapahit Barat mengandungi seluruh Semenanjung, Kalimantan Barat, Pulau Sumatera, kawasan Segenting, Burma Hilir, Siam, Kemboja dan Champa.'
Kebanyakkan nama-nama negeri ini tercatat dalam Kitab Nagarakartagama, namun ia disebut sebagai “negeri-negeri sahabat” bukan jajahan takluk. Mungkin sekali pada zaman tersebut ufti dari sesebuah negara kepada negara yang lebih hebat bermakna mereka bersahabat, Sejarah Melayu susunan W.G. Shellabear menyatakan:
Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan Betara Majapahit. Maka baginda beranak dengan anak raja Bukit Seguntang itu dua orang laki-laki, dan yang tua Raden Inu Merta Wangsa namanya, maka dirajakan baginda di Majapahit; dan yang muda Raden Mas Pamari namanya, maka dirajakan baginda jua di Majapahit, kerana negeri itu negeri besar.
Ceretra Kelima
Abdullah Mohamed (Nakula) mentafsirkan perenggan pertama dalam ceretra kelima ini adalah individu yang disebut sebagai Raden Mas Pamari adalah Sultan Baki Syah yang juga dikenali sebagia Raden Mas Aria di Gunung, manakala Raden Inu Merta Wangsa pula adalah Sri Bhatara Hayam Wuruk dan hubungan mereka disifatkan sama seperti adik beradik yang akrab. 1382, baginda Sultan Baki Syah pulang ke Kelantan setelah berada di Majapahit buat sekian lama, tidak lama selepas itu baginda mengumumkan menamakan sebagai Majapahit Barat sebagai Empayar Chermin Jiddah bermaksud “Cermin Permata”, menghidupkan kembali empayar yang pernah didirikan oleh Raja Bharubhasa, perisytiharan ini juga membuatkan Sultan Baki Syah turut dikenali sebagai Raja Chermin, juga di sebut sebagai Raja Kariksan, pada masa ini juga gelara Maharaja Kumar turut diguna dalam urusan rasmi dan nama inilah yang tercatat dalam Ming Shih-lu.
Rujukan
Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa Bersejarah [Buku]
Tanah Kala Sejarah Negeri Kelantan [Buku]
Sejarah Kelantan (Beberapa Lintasan) [Manuskrip]
Ming Shih-lu [http://www.epress.nus.edu.sg/msl/place/kelantan]
Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan